Friday, March 07, 2014

Program Inspire Beri Peluang OKU Ceburi Sukan Paralimpik - Khairy

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Selaras dengan perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Program Inspire untuk orang kelainan upaya (OKU) menceburkan diri dalam sukan paralimpik.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata program itu menyasar golongan OKU di peringkat akar umbi dari seluruh negara untuk menceburi bidang sukan sebagai atlet paralimpik.

"Program Inspire ini akan menjadi platform serta akses yang lebih besar untuk golongan OKU bersukan dan berekreasi. Warga OKU akan digalakkan untuk menyertai kem-kem akar umbi yang akan diadakan di 119 daerah di seluruh negara.

"Seramai 30 orang dari setiap daerah berkenaan akan disaring untuk kem dua hari yang dipanggil iTalent manakala daripada bilangan tersebut, seramai 1,400 peserta akan dikenal pasti untuk menyertai kem iTrain, yang akan diadakan di setiap negeri selama seminggu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat kecemerlangan berkenaan di Kampung Pandan, di sini Khamis.

Pusat kecemerlangan berkenaan dirasmikan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Khairy berkata program iTrain tersebut akan melatih peserta-peserta dalam mana-mana sukan paralimpiad seperti bola sepak tujuh sebelah, olahraga, memanah, bola keranjang kerusi roda, angkat berat, goal ball, ping pong, badminton, boccia, basikal, renang dan boling padang.

Sementara itu, mengulas mengenai pusat kecemerlanggan berkenaan, Khairy berkata kemudahan di pusat paralimpik itu merupakan yang terbaik di rantau Asia Tenggara, yang antara kemudahan yang disediakan ialah lapang sasar memanah, kolam renang, dewan bola keranjang serta badminton selain daripada asrama yang akan menempatkan kontinjen dan pasukan paralimpik negara.

Projek bernilai RM49 juta yang diserahkan kepada KBS awal tahun ini akan dikendalikan Perbadanan Stadium Malaysia manakala pengisian program akan dijalankan Majlis Sukan Negara (MSN), ISN dan MPM.

"Pusat kecemerlangan ini mengamalkan konsep terbuka di mana orang awam terutamanya dari sekolah pendidikan khas dan atlet paralimpik amatur digalakkan untuk guna pusat ini.

"Atlet paralimpik negara juga akan ditempatkan di sini kecuali atlet olahraga akan ditempatkan di MSN kerana trek di Kompleks Belia dan Sukan Kg Pandan sudah usang," katanya.

Khairy berkata pihaknya meletakkan sasaran tinggi dalam penyertaan atlet paralimpik dalam Sukan Para Asia dan Sukan Para Komanwel tahun ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment