Tuesday, March 04, 2014

Piala Sultan Azlan Shah masih 'panas' tanpa penampilan Pakistan

Mirnawan


BIARPUN Pakistan terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir, Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bermula 13 Mac depan dijangka tetap meriah dengan penyertaan enam pasukan.

Perkara itu diakui pengurus skuad remaja negara, Mirnawan Nawawi yang menganggap Malaysia bakal memperoleh pendedahan berguna sepanjang kejohanan tersebut.

Difahamkan, punca Pakistan menarik diri disebabkan masalah kewangan, sekali gus menyaksikan hanya Australia, Kanada, China, Korea Selatan, Afrika Selatan dan Malaysia selaku tuan rumah yang akan bertanding pada kejohanan tahunan tersebut.

Menurut Mirnawan, enam pasukan tersebut termasuk Malaysia masih mampu menjadikan PSAS sebagai satu kejohanan menarik seperti mana kempen terdahulu, lebih-lebih lagi dengan cabaran bakal diberikan pasukan No. 1 dunia, Australia.

“Sudah tentu Australia akan memberikan persembahan terbaik pada PSAS kali ini kerana mereka adalah pasukan terbaik dunia ketika ini.

“Bagi saya, beberapa pasukan seperti Australia, Korea Selatan dan Afrika Selatan pastinya menjadikan PSAS sebagai medan persiapan terbaik sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2014 Jun depan,” katanya.

Mirnawan turut berpendapat, aksi skuad senior negara pada PSAS kali ini amat penting bagi menilai tahap permainan dimiliki para pemain bagi menghadapi jadual padat sepanjang tahun ini.
“PSAS adalah ujian pertama skuad senior negara tahun ini dan jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) pastinya mempunyai perancangan tersendiri pada kejohanan itu.

“Saya harap para pemain yang terpilih dapat memberikan aksi terbaik. Sekiranya mereka berjaya mengekalkan momentum itu, sudah pasti mereka berpeluang cerah untuk terus menyarung jersi skuad negara selepas ini,” katanya lagi.


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment