Tuesday, March 04, 2014

Pelumba M'sia Perlukan Pendedahan Awal Sebelum Sertai MotoGP - Doohan

PETALING JAYA, 3 Mac (Bernama) -- Juara MotoGP lima kali Mick Doohan dari Australia menasihati pelumba muda Malaysia supaya terlebih dahulu mendapat pendedahan di peringkat rendah seperti perlumbaan Cub Prix sebelum melangkah ke gelanggang perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP.

Katanya penglibatan anak muda negara ini dalam perlumbaan Cub Prix adalah penting untuk membolehkan mereka mendapat keyakinan dan motivasi sebelum menyertai MotoGP yang lebih mencabar dari segi ketahanan fizikal dan mental.

"Saya dapati ada pelumba muda berlumba dalam kategori Moto2 (Azlan Shah Kamaruzaman) dan (Zulfahmi Khairuddin) dalam Moto3, kedua-dua mereka berpotensi besar untuk menjadi juara. Bagi saya, masanya akan tiba para pelumba Malaysia akan melakar kejayaan lebih besar.

"Layan saja impian anda kerana tiada apa yang mustahil di dunia ini. Paling penting, kita perlu ada komitmen dalam apa jua yang kita lakukan. Malaysia adalah antara negara paling sesuai untuk menjadikan impian anda suatu kenyataan (terutama dalam acara sukan bermotor)," kata Doohan kepada Bernama baru-baru ini.

Duta Laureus ini berada di Malaysia untuk mempromosikan Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014, yang akan berlangsung pada 26 Mac di sini.

Doohan juga memuji syarikat terkemuka seperti Petronas dan Air Asia yang banyak melabur untuk mempromosikan acara sukan bermotor di negara ini.

"Sokongan syarikat ini penting kerana ia juga mewujudkan platform untuk penunggang Malaysia berlumba dalam kejuaraan sukan bermotor antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment