Monday, March 17, 2014

Pandelela raih perak


Kuala Lumpur: Tembok besar China masih belum mampu dirobohkan ratu terjun negara, Pandelela Rinong apabila meraih pingat perak Kejohanan Terjun Siri Dunia pertama di Beijing, China, semalam.
Penerjun kelahiran Sarawak itu terpaksa akur kehebatan penerjun tuan rumah yang juga pemenang pingat emas Olimpik, Liu Huixia meraih 412.90 mata untuk muncul juara dengan Pandelela mengumpul 368.50 mata dalam acara final 10 meter platform individu manakala penerjun Great Britain, Tonia Couch dengan 357.90 mata dalam saingan membabitkan enam peserta terbaik itu.

Ia adalah pingat kedua Pandelela selepas meraih gangsa Jumaat lalu ketika bergandingan bersama Leong Mun Yee dalam acara platform 10m seirama sekali gus memastikan persembahan konsisten di pentas antarabangsa.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan ini namun masih terdapat yang boleh diperbaiki. Ini adalah pertandingan pertama saya, jadi kemenangan ini sedikit-sebanyak menggembirakan saya dan berharap lebih banyak kejayaan mampu dikecapi selepas ini,” katanya yang dijadual menyertai siri kedua di di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 22 hingga 24 Mac ini.

Terdahulu pada aksi separuh akhir A, Pandelela turut berada pada kedudukan kedua di belakang Huixia dengan tiga penerjun terbaik untuk dua aksi separuh akhir melangkah ke pusingan akhir.

Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, persembahan cemerlang dipamerkan Pandelela adalah persediaan yang bagus untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Asia tahun ini.


Oleh Azlan Muhammad Zain - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment