Tuesday, March 11, 2014

Olimpik 2016 masih di fikiran saya - Utusan

UTUSAN: Tahniah atas kejayaan merangkul kejuaraan All England buat kali ketiga. Apakah signifikan kemenangan kali ini berbanding dua gelaran terdahulu?

LEE CHONG WEI: Kemenangan kali ketiga ini memang amat bermakna. Ia sangat menggembirakan kerana dua minggu sebelum berlepas ke England, saya mengalami kecederaan (buku lali) dan tidak begitu pasti ketika itu apakah saya boleh bermain atau tidak.

Bagaimana anda dapat meneruskan permainan dalam keadaan yang tidak cergas sepenuhnya?
LEE CHONG WEI: Sebenarnya sebelum kejohanan bermula saya rasa begitu takut kerana bimbang kecederaan akan menghalang saya daripada memberi persembahan terbaik dan tidak dapat meneruskan pertandingan, tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu. Saya ada terfikir, mungkin ini juga adalah All England terakhir..jadi saya berusaha keras untuk memastikan saya pulang bersama kejuaraan.

Selepas kemenangan ke atas Chen Long, anda memberitahu media antarabangsa bahawa ini adalah All England terakhir, apakah anda tidak akan kembali tahun depan?
LEE CHONG WEI: Tidak..tidak. Saya belum membuat keputusan dan ini belum tentu kejohanan terakhir saya, saya cuma kata mungkin. Saya belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan saya.

Semuanya bergantung kepada keadaan fizikal saya sepanjang tahun ini. Apa pun keputusan, saya akan buat pada hujung tahun atau awal tahun depan.

Bagaimana pula dengan Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil. Adakah anda akan meneruskan usaha memburu pingat emas pertama pada temasya tersebut?

LEE CHONG WEI: Setakat ini saya masih belum membuat apa-apa keputusan berhubung aksi di Rio 2016. Semuanya bergantung kepada prestasi dan keadaan fizikal saya. Kalau saya bagus dan bebas daripada sebarang kecederaan, sudah tentu saya akan beraksi. Jumpa saya di Sukan Olimpik Brazil!.

Pada final All England anda mengatasi Chen Long dengan hebat biarpun tidak berada dalam keadaan terbaik, bagaimana anda mampu melakukannya?

LEE CHONG WEI: Saya pernah kalah banyak kali kepada Cheng Long dan sebab itu saya berusaha keras untuk memastikan saya dapat pulang bersama kejuaraan kali ini kerana saya tidak pasti apakah saya akan kembali lagi ke sini tahun depan.

No comments:

Post a Comment