Wednesday, March 19, 2014

Materazzi mula cetus tanda tanya

PERTEMUAN Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman dengan bekas pemain kebangsaan Itali, Marco Materazzi baru-baru ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan penyokong setia Tok Gajah.



TENGKU ABDUL RAHMAN (barisan depan, lima dari kanan) bergambar bersama Materazzi (tiga dari kiri) dan beberapa pegawai PBNP di pejabat PBNP di Kuantan baru-baru ini.


Khabar angin kini bertiup kencang mengatakan Materazzi berkemungkinan akan mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Pahang yang ditinggalkan oleh Ronald Smith.
Terdahulu, kontrak Smith bersama PBNP ditamatkan atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak awal bulan ini.

Menurut sumber, Materazzi dikatakan akan bergandingan dengan Zainal Abidin Hassan untuk mengendali skuad Tok Gajah bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Difahamkan, PBNP terpaksa mencari jurulatih yang benar-benar berkelayakan membimbing skuad Tok Gajah bagi meneruskan kejayaan yang dicapai mereka musim lalu.

Tinjauan Kosmo! di padang latihan skuad Tok Gajah di Taman Gelora dekat Kuantan petang semalam mendapati sesi latihan berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, kelibat Materazzi langsung tidak kelihatan.

Dalam pada itu, Zainal menjelaskan, beliau langsung tidak tahu menahu tentang pertemuan tersebut dan hanya mendapat maklumat mengenainya melalui laman sosial Facebook.

"Saya tidak tahu, saya rasa penjelasan mengenai perkara ini lebih sesuai diajukan kepada PBNP sendiri," katanya.

Setiausaha PBNP, Fuzaimie Ibrahim ketika dihubungi pula enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

"Saya tidak tahu... Tengku Muda mempunyai ramai kenalan," jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di laman-laman sosial termasuk Facebook mendapati gambar pertemuan antara pihak PBNP dan Materazzi kini mula tersebar luas.

Pelbagai andaian telah dibuat bagi menjelaskan tujuan sebenar pertemuan itu, antaranya ia bertujuan bagi membincangkan penubuhan akademi bola sepak di Pahang untuk mengasah bakat baharu dalam kalangan pemain muda.

No comments:

Post a Comment