Thursday, March 13, 2014

Mangsa komplot


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan insiden yang berlaku kepada pelumba terbaik negara, Azizuhasni Awang ketika beraksi di Siri Piala Dunia Klasik dan Kejohanan Dunia angkara perbuatan sesetengah pihak yang ingin menutup kelemahan mereka.

Katanya, Azizulhasni menjadi mangsa kepentingan sesetengah individu namun ia perlu diterima kerana membabitkan peraturan yang sudah ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), cuma yang dipertikaikan ia bukanlah kejadian pertama menimpa pelumba negara itu.

Justeru beliau berkata, ketua jurulatih negara John Beasley sudah menghantar surat bantahan kepada badan induk sukan berbasikal itu, menggesa perkara seperti itu tidak berulang.

“Ini bukan pertama kali berlaku kepada Azizul. Empat tahun lalu kemenangannya di Sukan Komanwel dibatalkan dan mujur ketika itu Josiah Ng di tempat kedua, jadi pingat emas masih lagi dalam genggaman kita. Tapi bayangkan jika perkara ini berlaku di Olimpik Rio dan sebagainya, sudah tentu ia sesuatu yang merugikan kita.

FotoZOLKPLES (tengah) melihat basikal jenama Ridley yang diterima skuad berbasikal negara, semalam.

“John ada sebut supaya langkah tertentu diambil bagi mengelakkan perkara ini berulang. Saya sarankan mungkin seperti tenis dan badminton, berikan ruang kepada mereka yang membuat protes untuk melihat kembali rakaman sama ada kesalahan itu betul-betul berlaku atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Zolkples berkata beliau turut dimaklumkan seorang lagi pelumba negara Josiah Ng kini sudah kembali berlatih selepas mengalami kemalangan ketika menyertai acara keirin di Aguascalientes, Mexico.

Namun perkara yang paling menggembirakan apabila dimaklumkan peningkatan mendadak pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa dengan prestasi yang semakin konsisten, sekali gus memberi petanda awal pingat pertama sukan berbasikal di temasya Olimpik mungkin dapat direalisasikan.

Selain itu, peningkatan beberapa pelumba muda negara seperti Muhammad Firdaus Mohd Zonis dan Muhd Arfy Qhairant Amran turut memuaskan hati MSN yang sentiasa menjalankan kerja sama erat bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment