Friday, March 07, 2014

Malaysia Tewaskan Kanada 6-2 Dalam Aksi Pertama Siri Persahabatan

MELAKA, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia menewaskan Kanada 6-2 dalam aksi pertama tiga siri perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Bukit Serindit petang Khamis.

Skuad kebangsaan kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah memperoleh gol seawal minit kelima menerusi jaringan padang penyerang handalan negara Faizal Saari, namun seminit kemudian pasukan lawan menyamakan kedudukan dengan jaringan gol oleh Hudson Stewart.

Pasukan negara yang tidak berputus asa terus mengasak kubu lawan dan mendapat gol kedua pada minit ke-21 hasil jaringan Mohd Ramadan Rosli seterusnya gol ketiga pada minit ke-32 menerusi Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Faizal sekali lagi menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-42 dan mencatat hatrik dengan pukulan derasnya pada minit ke-51.

Bagaimanapun, Kanada mendapat jaringan kedua menerusi Ian Symthe pada minit ke-53 sebelum pemain negara Muhammad Rashid Baharom melengkapkan pesta gol Malaysia dengan gol keenam pada minit ke-69.

Sementara itu, Muhammad Dharma Raj berkata pemain-pemain muda yang diberi peluang bermain dalam perlawanan itu tidak gementar berdepan pemain lawan lebih senior dan menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan bagi merebut tempat beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah hujung bulan ini.

Beliau berkata keputusan akhir untuk memilih pemain yang akan mewakili negara pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah akan diumumkan selepas tamat siri perlawanan persahabatan dengan Kanada, Ahad ini.

Mengulas mengenai pemain berbakat dari Jerman kelahiran Malaysia, Kevin Lim untuk mewakili pasukan negara, beliau berkata Lim mempunyai peluang cerah menyarung jersi Malaysia pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang akan diadakan di Ipoh, Perak.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment