Monday, March 17, 2014

Malaysia, Korea Selatan sama kuat


PARA pemain skuad negara meraikan kejayaan mereka selepas mencatat keputusan seri dengan Korea Selatan semalam.


HASRAT Malaysia untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian selepas mencatat keputusan seri 2-2 dengan Korea Selatan pada perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2014 di Stadium Hoki Azlan Shah di Ipoh malam tadi.

Skuad kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah itu diuji secukupnya oleh pasukan kendalian Shin Seok Kyo sejak daripada wisel permulaan lagi.
Namun penjaga gol, Hafizuddin Othman bertindak cemerlang menafikan percubaan Korea Selatan apabila menyelamatkan pukulan sudut penalti pada minit kelima.

Malaysia yang dibarisi oleh pemain muda tersentak dengan gol pembukaan Korea Selatan pada minit ke-10 perlawanan menerusi jaringan padang Oh Dae Keun.

Aksi pasukan kebangsaan yang kerap kehilangan bola menyaksikan agak permainan berat sebelah dengan Korea Selatan lebih banyak menguasai perlawanan.
Malaysia yang gagal menyerap tekanan pasukan lawan sekali lagi dibolosi melalui jaringan padang Dae Kuen pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, Malaysia bermula lebih agresif dengan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Korea Selatan.
Malaysia nyata tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-57 yang disempurnakan dengan baik oleh Shahril Saabah.

Skuad kebangsaan yang berjaya memperkemaskan permainan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-65.

Gol yang berpunca daripada pukulan sudut penalti itu disempurnakan dengan baik Faizal Saari melalui pukulan deras menewaskan penjaga gol, Lee Myung Ho.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal mencari gol kemenangan sehingga tamat perlawanan dan kedudukan kekal 2-2 bagi membolehkan mereka berkongsi satu mata.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan, Australia sekali lagi tampil garang selepas membelasah Kanada 6-0.

Australia yang tampil selaku pasukan pilihan mendahului tiga gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Glenn Simpson pada minit ke-10, Jeremy Hayward (minit ke-26) dan Nicholas Budgeon (35).

Bermula separuh masa kedua, Australia mengukuhkan kedudukan dengan menambah gol keempat menerusi gol padang Russell Ford pada minit ke-46.

Jacob Whetton menambah derita Kanada dengan dua gol padang pada minit ke-53 dan 63 bagi memastikan mereka meraih tiga mata mutlak.

1 comment:

  1. Well done, Congrats! to the coaches and the players. Malaysia Boleh! You all showed better spirit of Malaysia Boleh than MHC. MHC, PLEASE UPDATE YOUR OFFICIAL WEBSITE! Even your, office@malaysiahockey.com.my email address is not working! What the HELL! MHC = FAMB ???

    ReplyDelete