Thursday, March 06, 2014

Maafkan kami Kim Swee: Ultras Malaya

Kuala Lumpur: Ultras Malaya memohon maaf kepada jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee dan barisan pemain skuad kebangsaan berikutan kekecohan yang berlaku pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Sabtu lalu.

Menurut salah seorang wakil Ultras Malaya, mereka mengaku bersalah kerana mengganggu perlawanan pertama kendalian jurulatih itu dengan bertindak membakar suar dan membaling bom asap ke dalam padang sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan selama lapan minit babak pertama.

“Ultras Malaya ingin memohon maaf kepada jurulatih Datuk Ong Kim Swee kerana melakukan protes itu pada perlawanan pertama kendaliannya. Memang kami tidak patut bertindak seperti itu, tapi kami terpaksa kerana protes ke atas FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) perlu diteruskan.

“Kami juga memohon maaf kepada semua pemain jika tindakan yang dilakukan pada malam itu menjejaskan permainan mereka,” katanya.

Separuh Stadium MPS dipenuhi asap apabila hampir seribu Ultras Malaya bertindak membakar suar dan membaling bom asap ke dalam padang pada minit ke-30 sebagai tanda protes mereka dengan kepimpinan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah selama 30 tahun.

Dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan itu juga, Ultras Malaya hanya berdiam diri dan langsung tidak memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan yang ketika itu beraksi baik mendominasi permainan walaupun gagal mencipta jaringan.

Wakil Ultras Malaya itu berkata, mereka tetap akan memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan dalam perlawanan selepas ini.

“Apa yang kami lakukan itu tidak bermakna kami sudah tidak menyokong skuad kebangsaan. Kami cuma mahukan perubahan dalam bola sepak negara dan sokongan kami tetap kepada Harimau Malaya,” katanya.

Sementara itu Kim Swee ketika diminta mengulas mengenai insiden itu berkata, beliau berharap agar semua penyokong termasuk Ultras Malaya akan terus memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.

“Saya berharap agar kita semua dapat belajar daripada apa yang sudah berlaku. Apa yang penting kita perlu bersama-sama menaikkan mutu bola sepak dengan cara lebih budi pekerti. Saya dan seluruh pemain sememangnya menghormati dan mengharapkan sokongan padu Ultras Malaya setiap kali pasukan negara beraksi,” katanya.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment