Thursday, March 06, 2014

Lupakan pergeseran, fokus Sukan Asia


Kuala Lumpur: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mahu melupakan pergeseran mereka dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berikutan kegagalan badan induk persatuan sukan kebangsaan itu mempertahankan sukan berkenaan disenaraikan di temasya Sukan SEA Singapura 2015.

Setiausaha Agung MAKAF Vincent Chen berkata, isu kegagalan sukan itu dipertandingkan di Singapura bukan lagi keutamaan buat mereka kerana tumpuan utama pihaknya kini ke arah mempersiapkan atlet ke saingan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini. “Kami tidak mahu mencabar mana-mana pihak terutama MOM dalam isu mempertahankan acara karate di Sukan SEA tahun depan. Kami sudah mengambil keputusan untuk tidak memikirkan lagi perkara itu dan tumpuan kini menjurus kepada persiapan ke Sukan Asia hujung tahun ini.

“Lebih baik kita tutup kisah itu dan alih fokus ke Sukan Asia yang lebih tinggi tahap saingannya berbanding Sukan SEA. Kita sudah buktikan kekuatan kita di peringkat rantau ini, sekarang kita mahu takluk Asia pula,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menurutnya, MAKAF akan menyerahkan segala-galanya kepada kebijaksanaan MOM dalam memperjuangkan acara itu ketika mesyuarat bersama Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), pada 25 April depan. “Kami tidak kisah jika acara itu tidak dipertandingkan tahun depan kerana kami sedar peluang untuk tersenarai agak tipis akibat masalah yang berlaku di antara penganjur dan persatuan karate di Singapura. Sekarang terpulang kepada pihak mereka (Singapura), kami sudah tidak kisah,” katanya. Sebelum ini, Vincent menyalahkan pihak MOM kerana gagal mempertahankan acara karate sebagai salah satu acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2015.

Acara karate mula dipertandingkan pada Sukan SEA 1985 di Bangkok, Thailand dan pencapaian terbaik skuad negara pada temasya Sukan SEA ialah pada 2001 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah apabila memenangi sembilan pingat emas dan sukan itu terus menjadi lubuk emas buat kontinjen negara sehingga kini.




Oleh Mohd Firdaus Hashim - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment