Wednesday, March 26, 2014

‘Lupakan insiden malang’


Kuala Lumpur: Pelumba negara Azizulhasni Awang mahu melupakan insiden malang ketika Kejohanan Dunia dengan memberi tumpuan terhadap latihan dalam usahanya menghadiahkan pingat emas buat negara di dua temasya utama.

Sukan Asia dan Komanwel menjadi fokus utamanya selepas ini dengan segala perancangan sudah diatur ketua jurulatih John Beasley bagi memastikan pelumba negara itu berada di landasan tepat untuk memberi saingan.

Azizulhasni yang juga penyandang juara acara keirin Sukan Asia, tetapi dinafikan pingat emas di Sukan Komanwel berkata, perancangnya selepas ini melakukan latihan seperti biasa dengan mengikuti segala program dirancang Beasley.

Katanya, dia perlu terus menggilap prestasi semasa bagi memastikan kemuncak prestasinya berada di tahap tertinggi.

“Saya perlu fokus dan mengikut segala perancangan ditetapkan Beasley.

Dua temasya itu penting buat saya.

“Saya akan terus berlatih biarpun apa yang berlaku di Kejohanan Dunia masih lagi dirasai, tapi semua itu perlu dilupakan dan episod baru perlu dibuka,” katanya.

Di sebalik kekecewaan itu, Azizul sedar tahap prestasinya semakin baik dan biarpun pulang tangan kosong daripada Siri Piala Dunia Klasik dan Kejohanan Dunia, dia tetap meluahkan rasa gembira kerana dapat melihat adanya peningkatan drastik dalam prestasi semasanya.

Azizul selepas ini dijadual beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia yang berlangsung di Astana Kazakhstan dari 21 Mei hingga 1 Jun.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment