Friday, March 07, 2014

Program #Inspire cari bakat baharu atlet Paralimpik

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan ‘Program Inspire’ sebagai langkah mencari bakat-bakat sukan baharu dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) terutamanya bagi yang bercita-cita untuk menjadi atlet paralimpik di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, program itu menyasarkan golongan OKU di peringkat akar umbi di seluruh negara yang mempunyai bakat dalam bidang sukan dan ia akan menjadi platform yang lebih besar bagi golongan itu untuk bersukan serta berekreasi.

Katanya, golongan OKU diga­lakkan menyertai kem yang akan diadakan di 119 daerah di seluruh negara dengan 30 peserta terbaik akan dipilih melalui saringan bagi memasukan kem dua hari yang dipanggil ‘iTalent’.

"Daripada jumlah keseluruhan, 1,400 peserta akan dikenal pasti untuk menyertai kem ‘iTrain’ yang akan diadakan di setiap negeri selama lima hari dan mereka akan dilatih dalam mana-mana lima acara sukan para­limpik seperti bola sepak tujuh se­belah, olahraga, memanah, bola ke­ranjang kerusi roda, angkat berat, goal ball, ping pong, badminton, boccia, basikal, renang dan boling padang.

"Kami berharap bahawa daripada jumlah itu, bakat-bakat para­limpik akan dikenal pasti seterus­nya diserap ke dalam program sukan elit di mana mereka akan mewakili Malaysia dalam mana-mana kejohanan paralimpik dunia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di sini semalam.

Majlis perasmian pusat itu di­sempurnakan Penaung Majlis Pa­ralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah dan turut dihadiri bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun ­Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, Khairy mem­beritahu, Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik yang dibangunkan dengan nilai RM49 juta itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan termasuk lapang sasar memanah, kolam renang, dewan bola keranjang, dewan serbaguna serta asrama yang akan digunakan oleh para atlet paralimpik.

Katanya, atlet paralimpik kini tidak perlu lagi berkongsi kemudahan sukan dengan atlet lain di Bukit Jalil kerana mereka kini memiliki kemudahan tersendiri kecuali bagi acara olahraga kerana pusat itu tidak memiliki balapan.

"Boleh saya nyatakan di sini, pusat kecemerlangan ini memiliki kemudahan terbaik di rantau Asia Tenggara dan kami turut membuka pintu seluas-luasnya kepada para atlet paralimpik amatur untuk berlatih serta pelajar sekolah pendidikan khas untuk menggunakan kemudahan di sini.

"Penggunaan kolam renang, gelanggang permainan atau sebagainya mungkin untuk terapi atau pemulihan mereka. Kami mahu pusat ini menjadi pusat kecemer­­la­ngan bagi semua OKU bukan sahaja dalam kalangan atlet tetapi me­rangkumi semua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy memberitahu Kompleks Belia dan Sukan Kuala Lumpur di Kampung Pandan akan menjalani proses pembangunan secara menyeluruh melalui jalinan kerjasama dengan pihak swasta dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kertas cadangan me­ngenainya akan dikemukakan kepada jemaah menteri bagi mendapatkan kelulusan sebelum kerja-kerja penilaian mengenai projek itu dijalankan.

No comments:

Post a Comment