Friday, March 07, 2014

Kompleks Belia Dan Sukan Kg Pandan Dibangun Semula Menerusi Penswastaan - Khairy


KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kompleks Belia dan Sukan Kampung Pandan yang berusia puluhan tahun dan telah usang dicadang dibangunkan semula menerusi penswastaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ini kerana kerajaan tidak mempunyai peruntukan besar untuk membangunkan semula kompleks berkenaan yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

"Kompleks sukan berkenaan sudah mencecah usia puluhan tahun, jadi untuk membaik pulihnya, kita memerlukan peruntukan yang besar, maka kehadiran sektor swasta amat diperlukan.

"Kita akan buat penambahbaikan secara menyeluruh bukan hanya dengan membangunkan atau menggantikan balapan baharu sebab kemudahan di sini kebanyakannya sudah usang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan di sini Khamis.

Beliau berkata beliau akan mengemukakan kertas cadangan mengenai kompleks tersebut kepada Kabinet minggu depan untuk mendapat kelulusan pembangunan secara penswastaan.

Khairy berkata kementeriannya akan menawarkan bidaan secara terbuka dan semua bidaan yang disenarai pendek akan dipamerkan untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.

"Sebahagian daripada tanah di kawasan kompleks sukan berkenaan akan dibangunkan secara komersil manakala sebahagian lagi iaitu di bahagian padang dan balapan akan dibangunkan sebagai pusat sukan dan belia.

"Saya boleh bagi jaminan kepada penggiat sukan bahawa kemudahan sukan seperti padang, trek dan sebagainya yang ada di kompleks berkenaan akan dikekalkan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment