Wednesday, March 12, 2014

‘Kita semua rugi’

Kelana Jaya: “Satu kerugian besar!” Itu nada kekecewaan yang disuarakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal mengenai kemungkinan skuad kebangsaan bakal beraksi tanpa penyokong dan di gelanggang berkecuali jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertindak menghukum badan induk itu.

FAM berada dalam bahaya selepas AFC minggu lalu mengeluarkan surat pertuduhan berhubung insiden Ultras Malaya mencetuskan kekecohan dengan membakar mercun, suar dan membaling bom asap ke dalam padang ketika Malaysia menentang Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 1 Mac lalu.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya perlu menjawab surat pertuduhan itu sebelum tarikh akhir semalam dan sekiranya didapati bersalah di bawah Artikel 65, 66, dan 67, FAM boleh dikenakan denda dan Harimau Malaya terpaksa beraksi tanpa penyokong atau di gelanggang berkecuali selepas ini.

Bagi Subahan yang juga pengurus pasukan kebangsaan, beliau menganggap protes melampau Ultras Malaya sehingga perlawanan di Stadium MPS itu terpaksa dihentikan selama lapan minit pada babak pertama merugikan banyak pihak.

“Kalau AFC buat keputusan skuad kebangsaan tidak boleh bermain di sini, ia bukan saja merugikan pemain bola sepak, tapi penyokong dan juga FAM. Ini kerana pihak penaja hanya akan masuk (menaja FAM) bila penyokong ada,” jelasnya.

Menurutnya, beliau berharap semua penyokong bukan saja Ultras Malaya dapat memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan dengan cara yang betul.

“Insiden seperti itu boleh membahayakan kanak-kanak. Walaupun nak protes, itu bukan caranya. Kalau roket (mercun) itu terkena mata orang, kerana pernah terjadi sebelum ini masa Piala AFF, ada penyokong yang terkena mercun sehingga buta, jadi ini cukup bahaya.

“Saya faham mereka datang untuk memberikan sokongan, tapi bila datang ke stadium, sokong cara terbaik. Bukan saya nak mengkritik sesiapa tapi bila ada yang menggunakan perkataan lucah, itu bukan budaya kita,” kata Subahan.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment