Friday, March 07, 2014

Khairy enggan ulas jurulatih sementara




Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan mengulas mengenai kedudukan Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan selepas berakhirnya kempen kelayakan Piala Asia 2015 kelmarin, sebaliknya menyerahkan keputusan itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun beliau tidak menafikan ada peningkatan yang dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Swee ketika mengalahkan Yaman 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Emiriah Arab Bersatu.

“Memang nampak ada peningkatan dalam corak permainan pasukan. Untuk menang di gelanggang lawan walaupun Yaman bukan lawan hebat, tetap keputusan yang baik. Jelas, Kim Swee mengendalikan skuad negara dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia semalam.

Walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh 80 minit, skuad kendalian Kim Swee tidak mudah mengalah biarpun tiga mata diraih ke atas Yaman itu tidak cukup untuk membawa mereka ke pusingan akhir Piala Asia di Australia tahun depan.

Penyerang Amri Yahyah meledak gol pertama negara menerusi tandukan pada minit ke-16 manakala gol kedua dijaringkan Ahmad Fakri Shaarani (m-76). Yaman menghasilkan gol penyamaan menerusi Mohammed Al-Saori (m-60).

Kedudukan Kim Swee untuk terus membimbing skuad senior masih menjadi tanda tanya apabila FAM sebelum ini mengesahkan mereka masih menilai beberapa calon jurulatih asing.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment