Tuesday, March 04, 2014

Khairy: Bangunkan ragbi di peringkat sekolah


SUKAN ragbi perlu dikembangkan di peringkat sekolah bagi memastikan sukan itu dapat melahirkan atlet bertaraf antarabangsa mewakili negara pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sukan tersebut mempunyai masa depan cerah kerana pemain dari Malaysia mempunyai skil serta kepantasan baik.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyaksikan kejohanan ragbi MCKK Premier 7s, di Kuala Kangsar, kelmarin.

Menurutnya, pemain tempatan yang menyertai kejohanan tersebut mampu menyaingi kehebatan pasukan dari luar negara dan itu membuktikan pemain tempatan tidak ketinggalan jauh dari segi kualiti permainan.
“Pasukan Scots College dari New Zealand merupakan pasukan kedua terbaik dalam negaranya dan pada final tadi (semalam), pasukan Star (Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman) dapat menyaingi mereka namun sayangnya Star tewas.
“Mungkin kita akan beri fokus pada ragbi tujuh sebelah. Apa yang saya lihat adalah kita perlu bangunkan sukan ini di peringkat sekolah-sekolah.

“Itu sebab saya menyokong kejohanan ragbi MCKK 7s Premier ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kejohanan tamat.

Tambah beliau, kejohanan ragbi tujuh sebelah anjuran MCKK itu merupakan salah satu medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan ragbi.

“Bila di peringkat sekolah, tidak banyak perbezaan yang kita lihat antara pasukan. Namun apabila meningkat dewasa, kita boleh lihat perbezaan dari segi profesionalisme,” ujarnya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment