Monday, March 17, 2014

Kemudahan selesa atlet OKU



DEWAN badminton yang dilengkapi dengan enam gelanggang memberi kemudahan terbaik kepada atlet paralimpik menjalani latihan.



DI PANDANG sinis dan ditertawakan ketika berlatih antara pengalaman pahit buat atlet dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Mereka rata-rata merasakan terpinggir daripada arus pemodenan sukan negara.
Kekurangan yang dihadapi oleh golongan atlet ini tidak membuatkan mereka berasa rendah diri berbanding atlet yang sempurna.

Sebaliknya sindiran tersebut dijadikan sebagai batu loncatan untuk berjaya dan membuktikan bahawa mereka boleh membawa nama negara di persada antarabangsa.

Malah, semangat itu semakin melonjak menerusi pembukaan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Majlis perasmian pusat itu disempurnakan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah baru-baru ini.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia, Razman Razalie, 31, berasa sedih kerana sering menjadi bahan ketawa masyarakat ketika dulu.

"Kami bersyukur dengan adanya kompleks ini golongan kerdil dapat bersukan tanpa rasa malu.
"Jika dahulu kami sering dipandang sinis oleh masyarakat ketika melakukan latihan dan dengan adanya kompleks ini kami lebih fokus untuk berlatih dan bersukan", katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, kompleks tersebut mempunyai kelengkapan yang terbaik untuk golongan OKU malah masyarakat kerdil di Malaysia dapat menggunakan kemudahan tersebut setelah sekian lama menantinya.

Muhammad Ziyad Zolkefli, 24, pula berkata, dia sangat gembira dan teruja dengan kemudahan pusat sukan ini sekali gus mendorong mereka untuk lebih bersemangat berlatih.

"Jika dahulu, atlet OKU tidak dapat keselesaan yang secukupnya kerana terpaksa menggunakan tandas yang sempit dan tidak sesuai buat yang berkerusi roda.

"Fasiliti di sini sangat luas dan memudahkan atlet OKU untuk bergerak dengan lebih terbuka tanpa sekatan.

"Dengan adanya pusat sukan ini, atlet OKU akan lebih cemerlang dan berusaha ke arah mengembangkan sukan paralimpik ke arah yang lebih tinggi," ujarnya.

Ziyad yang mengalami masalah pembelajaran pernah meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada temasya Sukan Paralimpik London dan meraih pingat emas Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Lyon.

Kompleks itu terletak di kawasan berkeluasan 3.87 hektar dengan menempatkan pelbagai kemudahan sukan seperti lapangan sasar memanah, goal ball, kolam renang, bola keranjang, dewan badminton dan angkat berat.

Kemudahan lain termasuk asrama serta dewan makan khas bagi mewujudkan keselesaan buat atlet OKU.

Kompleks itu dibuka kepada kepada golongan OKU dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan pusat kecemerlangan sukan tersebut membolehkan atlet paralimpik negara mendapat kemudahan, layanan dan hak yang sama sebagaimana diperoleh oleh atlet-atlet normal.

"Sebelum ini kita lihat atlet OKU beraksi dengan baik dan mencapai sasaran 50 pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN ketujuh yang lalu dan pembukaan kompleks ini, saya percaya prestasi atlet akan lebih cemerlang", katanya.

Tambahnya, kompleks yang bernilai kira-kira RM49 juta itu merupakan sebuah Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik yang terbaik di Asia Tenggara.

"Kompleks itu mampu memberi inspirasi baharu buat atlet OKU bagi membuat persediaan yang secukupnya untuk beraksi di Sukan Para Asia dan Sukan Para Komanwel," katanya.

Temasya Sukan Para Komanwel akan berlangsung di Scotland pertengahan tahun ini dan Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan Oktober depan.

Kementerian telah meletakkan sasaran yang tinggi buat kontinjen paralimpik yang akan beraksi di temasya berprestij itu.
Sebelum ini, kontinjen Malaysia beraksi cemerlang pada temasya Sukan Para ASEAN 2014 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Sementara itu, menurut Jurulatih Kebangsaan Badminton OKU, Abdul Rani Jaafar, pusat sukan paralimpik itu menjadi sebuah pusat tumpuan untuk berlatih.

"Sebelum ini mereka terpaksa berlatih di pusat latihan awam ada kalanya latihan terpaksa dibatalkan kerana tempat latihan tersebut penuh.

"Saya sebagai jurulatih berasa sungguh gembira dengan pusat yang dibina khas ini mempunyai kemudahan yang lengkap dan selesa untuk berlatih", katanya.

Ujarnya, atlet tidak perlu balik ke rumah untuk berehat kerana kompleks ini mempunyai bilik penginapan yang selesa.

Tambahnya, sebelum ini atlet paralimpik menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) bersama atlet normal dan mungkin membawa masalah seperti pertindihan masa dan jadual dengan atlet-atlet elit yang lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, pusat kecemerlangan sukan ini mempunyai kemudahan yang terbaik dan dibina khas buat atlet OKU.

Ujarnya, pusat kecemerlangan ini mengamalkan konsep terbuka di mana orang awam terutamanya dari sekolah pendidikan khas dan atlet paralimpik amatur digalakkan menggunakan pusat ini.
"Kami mengalu-alukan sekolah atau kelab OKU untuk menggunakan pusat ini dari segi sukan atau seminar dan tidak mahu kompleks ini menjadi seperti gajah putih.

"Pusat ini khas dibina buat mereka, jika tidak digunakan ia adalah satu kerugian.
"Jika kelab OKU mahu membuat aktiviti selain sukan amat digalakkan kerana pusat ini mempunyai dewan seminar yang luas untuk mereka melakukan aktiviti tersebut", ujarnya.

Kompleks itu dibuka pada pukul 8 pagi hingga 10 malam untuk orang awam dan boleh membuat tempahan di Perbadanan Stadium Malaysia atau di Pusat Kecemerlangan Sukan, Kampung Pandan atau hubungi talian 03-92015178.

No comments:

Post a Comment