Wednesday, March 12, 2014

Kedah Sekadar Seri 1-1 Dengan PBAPP FC - Bernama

ALOR SETAR, 11 Mac (Bernama) -- Kedah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang pasukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Darul Aman di sini malam Selasa.

Keputusan seri ini menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata dan tidak membantu mengubah kedudukan liga, dengan PBAPP FC kekal menduduki tangga tercorot liga daripada 12 pasukan bertanding dengan tiga mata manakala Kedah di kedudukan kelapan dengan tujuh mata.

Skuad PBAPP FC hampir mencipta kejutan untuk mencipta kemenangan pertama apabila mendapat gol awal pada minit ke-14 menerusi jaringan Zainuddin Abidin.

Pasukan Kedah yang mahu mengutip tiga mata penuh, memperoleh gol penyamaan pada minit-61 menerusi Mohd Faizal Abu Bakar yang menolak bola ke gawang hasil hantaran Billy Mehmet Osman.

Skuad Kedah yang dibimbing David Stuard Mitchel memiliki beberapa peluang terbaik untuk mendapatkan gol tetapi dikecewakan oleh kelemahan penyudah.

Kedah hampir menjaringkan gol awal pada minit kesembilan tetapi percubaan ketua pasukan Badrol Bakhtiar berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol PBAPP Megat Amir Faisal.

Minit ke-51 Mohd Faizal menyaksikan percubaannya sedikit tersasar dari gawang gol pelawat dan pada minit ke-74, skuad Helang Merah hampir-hampir memperoleh gol kemenangan tetapi tandukan pemain gantian Muhammad Syafiq Jamal berjaya diselamatkan Megat Amir Faisal.

Kedah terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-76 apabila pemain gantian Zuraindey Jumai yang masuk pada minit ke-50 dilayangkan kad merah oleh pengadil Zulkarnain Zakaria selepas pemain itu menerima kad kuning kedua.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment