Tuesday, March 11, 2014

‘Kami sokong!’ - Harian Metro


Kuala Lumpur: Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia menyambut baik cadangan agar Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail diangkat sebagai presiden baru Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menggantikan Charouck Arirachakaran.

Menurut presiden kelab berkenaan, Rommi Suhendra Norsal, ia adalah satu perkara positif dengan Ahmad yang kini Timbalan Presiden I ISTAF boleh memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap mengembangkan lagi sukan tradisi berkenaan di pentas antarabangsa terutamanya ke Eropah.
“Apabila berada di ISTAF, beliau tidak perlu memikirkan perkara mengenai pembangunan peringkat akar umbi dan sebagainya.

Tugasnya di ISTAF lebih mudah dan ringan berbanding bersama PSM.
“Jadi apabila sudah mengetuai pucuk pimpinan ISTAF, beliau tidak perlulah campur tangan dan melepaskan kepimpinan PSM kepada orang baru iaitu Mohd Shapian Ali yang sudah menyuarakan kesanggupannya mengetuai PSM.

Malah Ahmad seharusnya gembira dengan kesudian Shapian yang sanggup memikul tugas berat untuk mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw negara,” katanya yang juga bekas pemain negara.

Kelab berkenaan yang diwakili segelintir pemain negara antara secara lantang mendesak Ahmad meletak jawatan sebagai jawatan Presiden PSM yang dipegangnya sejak 2003 selepas kegagalan berterusan skuad negara di pentas antarabangsa dengan kali terakhir Malaysia meraih emas di Sukan SEA adalah pada 2005 di Manila manakala di Sukan Asia pada edisi 1994 di Jepun.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain negara, Mohd Futra Abd Ghani berkata, ketiadaan liga profesional tempatan untuk mencungkil bakat baru adalah salah satu lagi bukti yang menunjukkan kegagalan PSM dalam menguruskan pembangunan sukan tradisi ini.
“PSM lebih banyak menumpukan kepada kejohanan berbentuk “one-off”.

Foto

Malah kejohanan berprestij Piala Emas Khir Johari juga gagal diadakan tahun lalu,” katanya yang memenangi emas terakhir negara di Sukan SEA.

Futra berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan pengurus Thailand, Tanawat Pyasongchayoen supaya liga profesional tempatan diwujudkan seperti yang dilakukan negara itu seandainya mahu melihat peningkatan kembali dipamerkan Malaysia di pentas antarabangsa.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment