Friday, March 14, 2014

Kaji semula syarat layak


Kuala Lumpur: Ada khabar gembira dan duka bakal menanti atlet negara menjelang mesyuarat jawatankuasa kerja Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Isnin ini.

Berita itu dimaklumkan oleh Pegawai Penyelaras Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk M Magendren bahawa Pengarah Teknikal KOM yang baru Robert J Ballard akan membentangkan kertas kerja berhubung sistem kelayakan baru ke dua temasya utama tahun ini, Sukan Asia dan Komanwel.

Magendren berkata, antara yang akan dibangkitkan adalah syarat kelayakan yang mana sistem kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan dikaji semula.

Justeru syarat pemilihan tetap MOM sebelum ini mungkin akan berubah dan memberi kelebihan kepada lebih ramai atlet untuk layak atau sebaliknya.

FotoISKANDAR antara atlet yang melepasi syarat ke Sukan Asia.

Bagaimanapun perkara itu perlu dipersetujui terlebih dahulu oleh penal jawatankuasa sebelum ia dipraktikkan oleh KOM.

“Sebagai contoh kelayakan ke Sukan Asia dan Komanwel tetap tempat kelima dan keenam tapi ada sesetengah acara sesuai digunakan dan ada yang tidak biarpun sudah melepasi kelayakan, jadi ia perlu dikaji semula.

“Justeru perkara ini akan dibangkitkan Ballard untuk dikaji semula pendekatannya,” katanya.

Mengambil contoh kuartet 4x100m wanita negara yang sudah melepasi syarat kelayakan ke Komanwel namun terpaksa dikaji semula kerana Magendren berkata mereka gagal menyerlah di Sukan SEA Myanmar.

“Jika gagal di Sukan SEA bagaimana mereka mampu menyerlah di Sukan Komanwel.”

Seandainya benar pendekatan baru itu dipraktikkan, ia mendapat sokongan daripada atlet senior 400m lari berpagar negara Noraseela Khalid yang menyokong penuh perkara itu kerana ia adalah satu pendekatan logik dan harus diperkenalkan secepat mungkin.

Bagi atlet yang ingin beraksi ke Sukan Asia, mereka perlu melepasi syarat yang ditetapkan sebelum 15 Ogos ini dan hingga setakat ini hanya dua atlet sudah melepasinya iaitu Iskandar Alwi dalam acara lompat bergalah dan Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh).



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment