Thursday, March 06, 2014

Jodoh Smith dengan Pahang berakhir




JODOH Ronald Smith bersama skuad Tok Gajah tidak berpanjangan setelah jurulatih kelahiran England itu mengesahkan bahawa kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) telah berakhir atas persetujuan bersama.

Meskipun berjaya mengemudi Pahang menjuarai Piala Sumbangsih dan mara ke peringkat separuh akhir Piala FA, prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Super terutamanya aksi di gelanggang lawan dilihat antara faktor kontraknya tidak disambung.

Smith ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan skuad Pahang di Kuantan petang semalam berkata, dia sangat gembira dapat bekerja dengan pasukan Pahang meskipun sedikit terkilan hubungan tersebut tidak menjadi seperti yang dirancang.

“Pada saya, semuanya berjalan dengan baik, namun mungkin terdapat sedikit perbezaan dari segi permainan antara saya dengan pihak pengurusan.

“Sebagai jurulatih, anda perlu yakin sepenuhnya dengan pendapat anda dan setiap perubahan ke arah yang lebih baik memerlukan masa, anda hanya boleh melihat hasilnya dalam tempoh beberapa bulan setelah keputusan dibuat kerana kejayaan tidak akan terjadi dalam waktu yang singkat.

“Bagaimanapun apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan saya tidak menyesal datang ke sini,” katanya yang akan pulang ke Australia hari ini.

Mengakui telah melepaskan peluang untuk bersama-sama pasukan Australia dalam Kejohanan Piala Dunia di Brazil tahun ini, Smith menegaskan dia telah mengambil risiko untuk datang ke Pahang dan keputusan telah pun dibuat.

“Saya sangka akan berada di sini sepanjang tahun dan telah meletak jawatan dengan Persatuan Bola Sepak Australia, namun saya tidak menyesal dan banyak perkara baik telah berlaku sepanjang saya bersama Pahang.

“Peminat Pahang adalah penyokong terbaik yang pernah saya lihat di negara ini dan sorakan mereka memberi sumbangan yang sangat besar kepada pasukan setiap kali kami bermain.

“Kami telah membuktikan kami mampu mengalahkan mana-mana pasukan di negara ini dengan mengalahkan pasukan Johor DT dan pasukan Lions XII sebanyak dua kali, saya doakan yang terbaik untuk Pahang,” katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan diberikan mandat untuk meneruskan kerja-kerja Smith.

KOSMO

No comments:

Post a Comment