Monday, March 17, 2014

Jerebu: Khairy Minta Persatuan Sukan Patuhi Nasihat Institut Sukan Negara

REMBAU, 15 Mac (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) mematuhi nasihat Institut Sukan Negara (ISN) berhubung latihan sukan dalam keadaan jerebu sekarang.

Katanya tahap kesesuaian latihan atlet adalah berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

"Kalau kita dapati bacaan IPU terlalu tinggi, maka tangguhkan dahulu latihan tersebut. Latihan boleh dimulakan semula sehingga keadaan kembali normal.

"Kita tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan jerebu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Terbuka Rembau 2014 kali ketiga anjuran Kelab Taekwondo Hypermax di sini hari ini.

ISN mengeluarkan nasihat itu semalam kepada semua persatuan sukan dan MSN.

"Oleh itu saya meminta semua persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri supaya mematuhi nasihat tersebut," kata Khairy.

Sementara itu katanya pembangunan sukan termasuk bola sepak dari peringkat akar umbi perlu digembleng secara terancang bagi meningkatkan mutu sukan berkenaan.

Katanya untuk itu, kanak-kanak dan remaja perlu mengikut proses dan latihan yang betul bermula dari peringkat awal..

"Saya percaya masa depan sukan negara bergantung kepada pembangunan untuk kanak-kanak dan remaja yang sistematik dan terancang. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh melahirkan juara (semalaman).

"Mereka (atlet) mestilah yang telah mempunyai bakat semula jadi. Apa yang kita boleh lakukan ialah memupuk bakat itu dan mencari jalan untuk meningkatkan mereka," katanya.

Kejohanan taekwondo selama dua hari itu disertai lebih 700 peserta dari seluruh negara termasuk Indonesia.

Turut diadakan tendangan tanpa henti selama 36 jam bagi dimasukkan dalam Malaysia Book of Records.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment