Thursday, March 20, 2014

Jangan harap

Kuala Lumpur: Tiada ruang untuk mana-mana individu yang masih menjalani hukuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk bertanding pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada 25 Mei ini.

Biarpun ada kedengaran bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa wajar diberikan peluang untuk dicalonkan pada pemilihan itu bagi merebut jawatan tertinggi, namun ia tidak akan berlaku kali ini.

Menurut sumber dalaman FAM, individu yang masih menjalani hukuman tidak dibenarkan bertanding, malah dalam kes Shahidan dan Annuar, kedua-dua individu itu tidak dibenarkan membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut FAM.

“Mana-mana calon berhasrat untuk bertanding dalam Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada Mei nanti perlu bebas daripada sebarang hukuman. Jika masih berminat untuk bertanding, maka beliau haruslah tunggu sehingga selepas tamat tempoh pergantungan.

“Perkara ini sudah ditetapkan sebelum ini, calon yang masih dalam pergantungan tidak dibenarkan bertanding dan dalam kes Shahidan dan Annuar, hukuman dikenakan ke atas mereka adalah yang paling minimum, jadi tiada rayuan.” katanya.

Shahidan dan Annuar antara dua individu berpengaruh dalam bola sepak tempatan apabila menjadi penyumbang kepada pembangunan bola sepak di negeri masing-masing dan ada pihak, khususnya peminat tempatan berpendapat mereka antara calon yang dilihat boleh merebut jawatan tertinggi dalam FAM.
Bagaimanapun pada Februari tahun lalu, Shahidan dikenakan hukuman gantung dua tahun enam bulan serta denda RM39,000 apabila didapati bersalah melanggar Artikel 88 gara-gara mengkritik FAM secara terbuka.

Beliau menuruti nasib malang menimpa bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang turut dikenakan tempoh penggantungan sama, bermula April 2012 kerana mengkritik prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal.
FAM sebelum ini membuka pencalonan kepada semua ahli gabungan bagi pemilihan baru Exco FAM untuk penggal 2014-2018 menerusi Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM, Mei nanti.

Jawatan yang bakal dipertandingkan membabitkan Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) dan 10 ahli Exco FAM membabitkan lapan lelaki serta dua wanita.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Annuar menerusi status Facebook miliknya mengesahkan Presiden Persatuan Bola\sepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia untuk bertanding jawatan Presiden FAM yang kini disandang Sultan Ahmad Shah.

Sebelum ini Tengku Mahkota Pahang yang juga Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut tidak menolak kemungkinan merebut jawatan tertinggi sekiranya mendapat sokongan ahli gabungan.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment