Friday, March 14, 2014

IPU tidak sihat: Atlet dinasihat tidak berlatih


KUALA LUMPUR - Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan atlet negara supaya tidak meneruskan sesi latihan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus berada pada paras tidak sihat iaitu melebihi 100.

ISN dalam satu kenyataan hari ini menggesa agar para atlet dan jurulatih membuat pemantauan tahap IPU dari semasa ke semasa menerusi siaran radio, televisyen mahupun secara dalam talian.

"Atlet dan jurulatih juga diminta untuk mengelakkan daripada mengadakan latihan berintensiti tinggi terutama pada waktu tengah hari atau petang apabila tahap pencemaran adalah paling tinggi," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa ISN meminta atlet menjalankan latihan di kawasan tertutup yang merupakan antara langkah paling efektif bagi mengekalkan dan meneruskan program latihan atlet.

"Jika pencemaran udara berterusan untuk tempoh yang lama, pelbagaikan rutin latihan seperti latihan suaian fizikal, larian menggunakan 'treadmill', berbasikal, berenang, latihan litar dan lain-lain," menurutnya.

ISN mengesyorkan persatuan sukan kebangsaan atau penganjur kejohanan untuk menunda aktiviti fizikal luar bagi memastikan keselamatan dan tahap kesihatan atlet dan penonton terjamin.

ISN akan memantau dari semasa ke semasa situasi jerebu yang melanda negara dan akan memberikan khidmat nasihat terbaik kepada atlet dan jurulatih. - Bernama

No comments:

Post a Comment