Wednesday, March 05, 2014

Harimau Muda A terbang ke Australia

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda A berlepas ke Australia hari ini dalam misi mencari pendedahan biarpun penyertaan mereka dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland cuba diburukkan media negara itu sebelum ini.

Seramai 25 pemain terpilih menyertai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dengan kebanyakannya muka baru bawah 23 tahun sebagai persiapan mengharungi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September.

Selama enam bulan berada di sana, Harimau Muda A bakal mengharungi 26 perlawanan dalam liga taraf kedua selepas Liga Australia itu dengan mereka berdepan ujian pertama menentang Moreton Bay Jets pada Sabtu ini.

“Saya mahu pemain cepat menyesuaikan diri dengan suasana liga itu. Memang tujuan pasukan ini ke Australia bagi mendapatkan pendedahan tapi dalam masa sama, kita juga mahu keputusan baik,” katanya yang akan bersama pasukan itu Jumaat ini selepas selesai mengendalikan skuad kebangsaan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Yaman di UAE malam ini.

Bulan lalu laporan Brisbane Times mendakwa penyertaan skuad muda negara itu bakal menyebabkan liga berkenaan terdedah kepada sindiket perjudian di Asia.

Namun Persatuan Bolasepak Malaysia Malaysia (FAM) dan Football Queensland menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang dianggap boleh menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua persatuan itu. Menurut mereka program ini mengikut prosedur serta mendapat kelulusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita tolak ketepi soal kontroversi itu kerana kita mempunyai tugas dan misi lebih penting di sana. Kita mahu pemain menggunakan peluang beraksi dalam NPL kerana ini persiapan terbaik sebelum Piala Asia.

“Saya mencabar pemain supaya menamatkan kempen liga itu dalam kelompok lima teratas tapi jika mereka berjaya menduduki pertengahan liga bagi saya, itu juga sudah memadai,” katanya.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment