Tuesday, March 11, 2014

Harap sentuhan remaja - Berita Harian


Kuala Lumpur: Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak menolak kemungkinan akan menyerapkan ramai pemain remaja dalam skuadnya bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2014 yang bermula Khamis ini.

Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan itu berkata, langkah berkenaan diambil berikutan ramai pemain senior tidak dapat diturunkan kerana berdepan masalah kecederaan.

Pemain senior cedera


“Jangan terkejut jika ramai pemain remaja disenaraikan dalam kejohanan itu nanti. Kita terpaksa lakukan walaupun ia mungkin bertentangan dengan kehendak penganjur kerana hampir setengah daripada pemain senior sedia ada masih belum pulih dari kecederaan.

“Lagipun pemain remaja sedia ada sudah berjaya membuktikan kebolehan mereka sepanjang tiga sesi perlawanan persahabatan dengan Kanada di Melaka, baru-baru ini," katanya di sini, semalam.

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2014 bakal diadakan di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh dari Khamis hingga 23 Mac ini. Ia bakal disertai enam negara iaitu Australia, Korea Selatan, Afrika Selatan, Kanada dan China selain Malaysia selaku tuan rumah.

Perlawanan pembukaan skuad kebangsaan dijadual pada Khamis ini membabitkan pertemuan dengan Afrika Selatan.
Mengulas lanjut, Dhaarma berkata, sehingga kini hanya dua pemain remaja kebangsaan sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di kejohanan berkenaan.

Katanya, mereka adalah Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri dan Muhammad Hafizuddin Othman yang masingmasing beraksi sebagai penjaga gol.

"Mereka ini saya jangka terpilih kerana dua penjaga gol utama S Kumar dan Roslan Jamaluddin masih cedera. Pemilihan membabitkan pemain lain pula akan ditentukan selepas perlawanan persahabatan dengan China dan Australia di Stadium Sultan Azlan Shah petang esok (hari ini)," katanya.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment