Tuesday, March 18, 2014

FAM perlu henti sandiwara: PETEH


Kuala Terengganu: Jika kelmarin bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kamaruddin Abdullah meminta isu Terowong Larkin disegerakan, penyokong Terengganu semalam turut menaruh harapan tinggi badan induk negara itu mampu menyelesaikan isu berkenaan supaya pemain T-Team dapat menumpukan kembali perhatian terhadap perlawanan.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, mereka sudah lama menunggu kesudahan isu berkenaan walaupun pertuduhan sudah dikeluarkan kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan T-Team pula dihukum tewas 3-0.
“Kelewatan FAM menyelesaikan isu ini bakal memberi impak terhadap kredibiliti FAM, malah tempiasnya turut terkena kepada pemain Liga Super T-Team.

“Kenapa proses ini terlalu lama, sejak 1 Februari lalu hingga hari ini, sudah sebulan lebih kes ini diperincikan, tapi FAM masih belum menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bersalah.
“Persoalannya kenapa FAM sukar membuat keputusan, sedangkan T-Team awal-awal lagi sudah dihukum.

Adakah campur tangan dalaman dan pihak luar yang menyebabkan kes ini tertangguh? Kami mahukan jawapan bukannya sandiwara FAM,” katanya.

Menurutnya, jika isu itu terus tertangguh, bukan saja peminat terus hilang kepercayaan terhadap FAM, malah memperlihatkan ketidakupayaan badan itu mengurus.

Beliau berkata, sepatutnya FAM sudah mengenal pasti siapa bersalah, malah secara psikologi FAM mampu membuat keputusan segera berdasarkan laporan Komisioner Perlawanan dan pengadil serta pegawai dan pemain yang dipanggil.

“Tapi bagi PETEH, FAM sengaja melewat-lewatkan isu berkenaan supaya menjadi lebih sejuk berbanding jika keputusan awal dibuat,” katanya.


Oleh Malik Muhamad ,Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment