Thursday, March 20, 2014

Chong Wei, Nicol ketuai senarai


AHMAD KHAWARI (dua dari kanan) menerima replika penajaan daripada Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Carissa Goh di Petaling Jaya semalam.

SKUAD hoki remaja kebangsaan menjadi pilihan untuk menerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2013, 3 April depan.

Skuad kebangsaan diiktiraf selepas mendapat tempat keempat pada Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India, Disember lalu, sekali gus melepasi sasaran dalam kelompok keenam terbaik yang diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Sementara itu, tiada elemen kejutan dalam senarai pencalonan apabila pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi akan berentap dengan ratu skuasy, Datuk Nicol David.
Ratu terjun, Pandelela Rinong turut disenaraikan bersama penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee dalam saingan merebut anugerah berprestij tersebut pada majlis yang akan berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya itu.

Pencapai luar biasa acara wusyu juga telah melayakkan dua atlet daripada sukan tersebut, Diana Bong dan Hon Mun Hua untuk disenaraikan bagi Anugerah Atlet Terbaik 2014 di samping atlet bina badan, Sazali Samad.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa berkata, enam calon tersebut merupakan atlet terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang tahun lalu,” katanya pada sidang akbar di Petaling Jaya semalam.

Juara bagi kategori itu akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi.
Pandelela menjadi atlet pertama yang memenangi kategori tersebut sebanyak dua kali pada tahun 2010 dan 2012, manakala penembak negara, Nur Suryani Taibi memenanginya pada 2011.

Selain itu, kategori Atlet Penampilan Semula Terbaik, Atlet Remaja Terbaik dan Persatuan Sukan Paling Dinamik turut disenaraikan termasuk Anugerah Khas SAM.


Tidak ketinggalan, ahli SAM juga berpeluang merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 menerusi Anugerah Media SAM-KBS yang dibahagikan kepada enam kategori di mana pemenang hadiah utama akan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan trofi.

Pemenang bagi enam kategori yang dipertandingkan akan menerima RM3,000 manakala lima pencalonan yang disenarai pendek masing-masing akan menerima RM500 serta pingat.

No comments:

Post a Comment