Tuesday, March 11, 2014

Chong Wei beri bayangan awal - Kosmo

AKSI terbaik Datuk Lee Chong Wei pada final Kejohanan Badminton Seluruh England. Itu rumusan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ketika ditanya mengenai kejayaan Chong Wei muncul juara Seluruh England 2014.

Pada aksi final di National Indoor Arena, Birmingham, England awal pagi semalam, Chong Wei tampil dengan rentak memukau apabila menjinakkan bintang muda China, Chen Long 21-13, 21-18 dalam tempoh 59 minit.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia merampas kembali gelaran juara Seluruh England selepas dia muncul juara pada edisi 2010 dan 2011.

Sebagai rekod, Chong Wei tewas kepada jaguh China, Lin Dan pada final edisi 2012 sebelum tumbang ketika menentang Chen Long dalam aksi final tahun lalu.
Mengulas pertemuan menentang Chen Long semalam, Zolkples mengakui, beliau berasa risau jika pemain No. 2 dunia itu memenangi set kedua.

"Saya menonton perlawanan itu dan ia merupakan aksi terbaik pernah saya lihat daripada Chong Wei. Saya percaya dia tidak ada masalah untuk menewaskan sesiapapun jika dia mampu mengulangi aksi sebegitu.

"Chen Long juga memberikan aksi sengit dan pada suatu ketika, kita dapat lihat dia mengejar kedudukan daripada 13-18 hingga 17-18 pada set kedua.
"Kalau dia menang set kedua itu, mungkin keputusan akan berbeza kerana Chen Long juga bukan calang-calang pemain," jelas Zolkples semalam.

Kejayaan itu juga sudah pasti memberi kelegaan kepada Chong Wei kerana sebelum beraksi di Birmingham, dia dikatakan mahu menarik diri ekoran kecederaan buku lali.

Sejurus tamat aksi final semalam, Chong Wei memberikan bayangan bahawa dia mungkin tidak akan kembali beraksi pada kejohanan berprestij itu.

"Saya rasa penampilan kali ini mungkin aksi terakhir saya pada Seluruh England. Saya sangat gembira dan saya telah cuba yang terbaik kerana Chen Long memberikan cabaran yang paling sukar untuk saya.

"Saya pernah tewas dengan dia banyak kali, sebab itu saya mahu cuba yang terbaik dan berazam untuk sekali lagi menjuarai Seluruh England.

"Saya mungkin akan mengakhiri (karier) tahun ini dan saya tidak tahu akan kembali lagi atau tidak tahun depan," ujar Chong Wei.

No comments:

Post a Comment