Wednesday, March 12, 2014

Bekas Kapten Perancis Antara Calon Ketua Jurulatih Harimau Malaya

PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) -- Bekas kapten Perancis, Marcel Desailly, antara enam nama dicalonkan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal, selain Desailly, lima lagi nama disenarai pendek ialah bekas jurulatih Thailand Peter Reid, bekas pengurus kelab Aston Villa, David O' Leary, bekas pengurus kelab AS Roma, Zdenek Zeman, bekas jurulatih India Bobby Houghton dan bekas penasihat pasukan Fiorentina, Fabio Lopez dari Itali.

"Kita mahu lihat apa yang mereka boleh tawarkan walaupun masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Keputusan pemilihan ketua jurulatih mengambil masa yang lama kerana kita inginkan seorang jurulatih yang tepat. Mereka bukan sahaja boleh mengendalikan pasukan kebangsaan tetapi juga bekerjasama dengan semua jurulatih yang lain," katanya.

Subahan berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara stesen televisyen berbayar, Astro Arena dan Utusan Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Selasa.

Astro Arena diwakili Ketua Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Kay manakala Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Nasir Ali mewakili Utusan Malaysia.

Menerusi perjanjian berkenaan, wartawan sukan Utusan Malaysia akan tampil selaku tetamu jemputan dalam beberapa program terbitan Astro Arena manakala pengulas dari stesen televisyen itu pula berkongsi pandangan mereka mengenai perkembangan semasa sukan bola sepak tanah air dalam akhbar itu.

Mengulas lanjut, Subahan berkata ketua jurulatih skuad Harimau Muda A (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee masih kekal mengendalikan skuad kebangsaan secara sementara waktu sehingga Jun nanti sebelum badan induk itu mengumumkan ketua jurulatih negara yang baharu.

Katanya, keputusan tersebut diputuskan oleh ahli exco FAM memandangkan mereka mahu pengendali kelahiran Melaka itu memberikan tumpuan khusus dalam melatih pemain-pemain muda yang berbakat.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian yang diraih oleh Kim Swee pada ketika ini, kerana seorang jurulatih yang bagus perlu bekerjasama dengan semua pemain di bawah kendaliannya.

"Kita bagaimanapun perlu memberikan peluang kepada mereka yang sudah membuat permohonan (untuk jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan) kerana Kim Swee mempunyai tugas lain yang lebih penting...keputusan muktamad bukan saya yang buat tetapi akan ditentukan oleh ahli exco FAM," kata Subahan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberikan bayangan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden sekiranya mendapat pencalonan daripada ahli gabungan FAM.

Badan induk kebangsaan itu bakal mengadakan kongres tahunan ke-50 pada 25 Mei ini untuk memilih ahli exco yang baharu untuk penggal 2014-2018.

"Saya di sini (FAM) untuk bekerja dan saya mahu melakukan satu perubahan dengan sedaya upaya. Yang pentingnya, biarlah ahli gabungan menentukan nasib saya, kalau mereka fikir saya layak, saya sedia untuk berkhidmat.

"Apabila anggota gabungan memilih ahli yang baharu, biarlah mereka boleh duduk semeja, bekerjasama dan memberikan idea-idea bernas dalam memartabatkan bola sepak negara," kata Subahan yang menyandang jawatan berkenaan sejak 2010.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment