Tuesday, March 04, 2014

'Bayau' Pamer Prestasi Cemerlang, Pintas Adiq Di Garisan Penamat

REMBAU, 3 Mac (Bernama) -- Pelumba kebangsaan Mohd Fauzan Ahmad Lutfi sekali lagi menampilkan prestasi cemerlang apabila muncul pelumba Malaysia pertama mencecah garisan penamat pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi 2014, Isnin..

Malah, Mohd Fauzan atau lebih dikenali dengan panggilan 'Bayau' berjaya memintas rakan senegaranya Mohammed Adiq Husainie Othman yang mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG).

Ketika pendakian ke Genting Highlands semalam, Mohammed Adiq berjaya memintas kedudukan Mohd Fauzan untuk muncul pelumba pertama Malaysia yang tiba di puncak.

Pada perlumbaan hari ini, pelumba berusia 28 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 139.3km dari Karak ke Rembau dengan catatan masa tiga jam, empat minit dan 43 saat selepas menempatkan diri dalam peloton besar ke garisan penamat.

"Hari ini, perlumbaan memang laju dari permulaan hingga habis. Kita cuma tunggu dan saya cuba ikut enam pelumba yang buat pemecahan, namun tidak berjaya," katanya.

Selepas perlumbaan peringkat kelima hari ini, pasukan Malaysia berjaya menempatkan diri dalam 15 pasukan terbaik keseluruhan namun masih mencuba untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Asia.

Pasukan Malaysia berada di tempat keempat di belakang Indonesia dengan jumlah masa terkumpul 46:20:24s.

"Saya gembira dan sangat berpuas hati, seronok dapat bantu skuad Malaysia walaupun persiapan diri saya sendiri kurang sebab baru pulih dari kecederaan di pinggang.

"Kita akan cuba perbaiki kedudukan sekurang-kurangnya melonjak ke kedudukan ketiga terbaik Asia seperti yang disasarkan," katanya.

Untuk perlumbaan esok dari Melaka ke Pontian sejauh 199.1km, Mohd Fauzan berkata pasukan kebangsaan akan bersedia untuk melakukan pemecahan dan berada dalam kumpulan pendahulu bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment