Monday, March 17, 2014

Bangkit ikat Korea


Ipoh: Malaysia melakukan kebangkitan dramatik untuk mengikat Korea Selatan 2-2 meskipun pada satu ketika ketinggalan 0-2 pada perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah semalam.
“Selepas ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, saya hanya mahu pemain beraksi mati-matian di separuh masa kedua.

“Saya arahkan mereka memberikan tekanan kepada Korea untuk membolehkan lawan melakukan kesilapan dan ternyata strategi ini menjadi,” kata ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah

Skuad negara yang dibarisi rata-rata pemain muda dilihat agak gugup pada awal permainan dengan kerap hilang kawalan bola dan membenarkan Korea memberi tekanan.

Hasil usaha itu, Korea akhirnya memperoleh gol pertama seawal minit ke-10 menerusi jaringan padang Oh Dae Keun.

Skuad bimbingan Shin Seok Kyo terus memberi tekanan kepada skuad negara dan lawan dihadiahkan pukulan sudut penalti dua minit selepas gol pertama tetapi ia gagal disempurnakan dengan baik.
Tekanan demi tekanan daripada Korea menyaksikan skuad negara terpaksa bertahan dengan penjaga gawang Muhammad Hafizuddin Othman cemerlang menafikan setiap cubaan berbahaya lawan.

Namun Hafizuddin yang membuat penampilan kedua untuk skuad negara akhirnya tewas juga menerusi gol padang yang turut dijaringkan oleh Dae Keun m-35.
Bersambung babak kedua, Korea terus konsisten memberi tekanan dan Malaysia pula terus buntu untuk mencari ruang terbaik di depan gol lawan.

Selepas 58 minit permainan, barulah skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama dan ia disempurnakan Muhammad Shahril Saabah meskipun set piece awal tidak menjadi.

Gol itu meningkatkan semangat anak buah Dhaarma untuk mencari gol penyamaan ketika permainan berbaki 10 minit.

Tekanan skuad negara membuahkan hasil selepas penyerang negara Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti m-65 mengikat kedudukan terikat 2-2.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment