Thursday, March 13, 2014

BAM masih tunggu jawapan Misbun

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menunggu jawapan daripada Datuk Misbun Sidek sama ada bersetuju atau sebaliknya selepas ditawarkan untuk memegang jawatan Pengarah Keupayaan dan Kemahiran badan induk itu.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya sudah menghantar surat tawaran kepada Misbun, 10 hari lalu menerusi kiriman emel dan pos ke rumahnya di Ukay Perdana, namun sehingga semalam masih belum ada jawapan daripada bekas jurulatih perseorangan negara berkenaan.

“Buat masa sekarang belum ada jawapan lagi dan BAM masih menunggu,” kata Kenny ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diberikan BAM kepada Misbun untuk memberikan jawapan berhubung surat tawaran berkenaan, Kenny berkata ia hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan (CSR) yang dipengerusikan presiden, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dalam masa terdekat.

Tiada tempoh

“Tiada tempoh masa tetapi saya percaya ia akan dibincangkan dalam mesyuarat CSR tidak lama lagi. Dalam mesyuarat itu nanti semuanya akan diputuskan,” katanya.

Misbun yang meletak jawatan daripada BAM pada Disember 2010 ketika ini berada di Romania bagi menemani anaknya, Misbun Ramdan Misbun yang beraksi dalam Siri Antarabangsa Romania yang membuka tirai saingannya, hari ini.
Sebelum itu, Misbun berada di Birmingham selepas Ramdan beraksi dalam saingan kelayakan Seluruh England dan tersingkir di pusingan pertama.

BH Sukan pada 1 Mac lalu melaporkan BAM sudah membuat keputusan memilih Misbun untuk jawatan Pengarah Keupayaan dan Kemahiran dan dalam proses terakhir mengemukakan surat tawaran kepada bekas jaguh perseorangan negara itu.



BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment