Thursday, March 13, 2014

Azizulhasni didakwa jadi 'kambing hitam'

KETUA jurulatih, John Beasley berang dengan insiden yang menimpa jaguh lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang pada Kejohanan Dunia Trek di Cali, Colombia dari 26 Februari hingga 2 Mac lalu.

Pada perlumbaan di Velodromo Alcides Nieto Patino itu, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) membatalkan kayuhan Azizulhasni meskipun dia dilanggar dari belakang oleh pelumba Australia, Matthew Glaetzer.

"Bukan sekali tetapi sudah beberapa kali perkara yang hampir sama berlaku ke atas pelumba Malaysia. Kalau dulu, kami tiada peluang untuk mengemukakan bukti tetapi kali ini, rakaman video akan digunakan untuk memastikan kebenaran apa yang berlaku ketika perlumbaan didedahkan," luah Beasley yang ditemui ketika majlis penyerahan tajaan Ridley Bicycles Company/Action Bods Singapore kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) semalam.

Jurulatih kelahiran Australia itu turut mengakui bengang dengan peraturan yang digariskan oleh UCI dalam mengekang kekasaran ketika perlumbaan yang dianggapnya tidak konsisten.

"Tiada konsisten dalam meletakkan sesuatu peraturan. Berbeza-beza antara satu kejohanan dengan kejohanan lain dan lebih memeningkan apabila adanya perubahan peraturan, ia tidak dijelaskan dengan sebaiknya," kritik Beasley yang turut menjelaskan dia akan menghantar surat bantahan kepada UCI dalam masa terdekat.

Keadaan tersebut turut mengambarkan seolah-olah UCI cuba mengekang penguasaan pelumba dari Asia terutamanya Malaysia kerana sering 'memejam' mata apabila insiden seumpama itu berlaku.
"Keputusan yang dilakukan UCI tanpa melihat bukti dan rayuan adalah sesuatu yang buruk. Sudah lama perkara itu berlaku dan setiap rayuan ditolak.

"Memang diakui sepanjang perlumbaan akan ada penggeseran terutamanya dalam acara keirin tetapi kami cuba elak ia daripada berlaku.
"Malangnya ia semakin kerap berlaku dan saya tidak tahu apa yang cuba dilakukan oleh UCI," jelas Beasley.

Beasley berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menggugat penguasaan pelumba Eropah, Amerika Sayrikat dan Australia pada kejohanan dunia serta Olimpik.

"Kami mempunyai pakar pecut dan keirin yang hebat terutamanya Azizulhasni, Josiah Ng dan Nur Fatehah Mustapha. Walaupun catatan masa mereka sedikit ketinggalan, cabaran yang diberikan sangat menarik.

"Secara keseluruhan, kami berada di landasan terbaik walaupun insiden di luar jangkaan itu berlaku. Saya percaya mereka berpotensi meraih pingat pada Sukan Asia dan Komanwel nanti tanpa masalah," akui Beasley.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menjelaskan pihaknya dan Beasley telah mengadakan pertemuan berkaitan insiden yang menimpa jaguh keirin negara itu.

"Saya telah mendengar aduan dan laporan dari Beasley kelmarin. Jika beliau yang merupakan seorang pakar dalam acara basikal trek pun tidak faham apa yang cuba dilakukan UCI dan perkara tersebut boleh berlaku, apatah lagi orang lain.

"Saya anggap Azizulhasni mangsa keadaan. Seperti yang dikatakan Beasley, Azizulhasni adalah 'kambing hitam' yang digunakan oleh pihak tertentu untuk menutup kelemahan mereka," kata Zolkples.

Bagi mengelak perkara ini dari terus berlaku, Zolkples menyarankan agar skuad negara menggunakan teknik yang guna pakai dalam sukan tenis iaitu memastikan setiap perlawanan mempunyai rakaman video.

"Dengan adanya rakaman video, kami mempunyai bukti dan mencerahkan peluang untuk melakukan rayuan atau bantahan secara rasmi dan saya yakin, Azizulhasni tidak salah dalam hal ini.

"Saya percaya, sudah masanya kita menggunakan teknik tersebut kerana apa yang menimpa pelumba kita, bukan perkara baharu. Jadi, bukti yang sedemikian untuk memastikan ia tidak berulang lagi," tegas Zolkples yang turut kecewa kerana ia berlaku dalam acara keirin kerana Malaysia mempunyai pelumba yang berpotensi untuk membawa pulang pingat emas.

No comments:

Post a Comment