Wednesday, March 05, 2014

Azizul jadi ‘kambing hitam’


Kuala Lumpur: Pelumba trek terbaik negara Azizulhasni Awang menjadi mangsa keputusan yang tidak adil semata-mata kerana Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) terpaksa mencari ‘kambing hitam’ untuk dipersalahkan.
Itu pendapat ketua jurulatih negara, John Beasley berikutan pembatalan Azizulhasni dalam acara keirin di Kejohanan Dunia di Cali, Colombia kerana dianggap sebagai penyebab kemalangan yang turut membabitkan pelumba Australia, Matthew Glaetzer, Jumaat lalu.

Beasley menyifatkan keputusan UCI berkenaan sebagai kejam kerana rakaman video perlumbaan pusingan kedua itu jelas membuktikan Azizulhasni tidak bersalah.

“UCI menjatuhkan hukuman tidak adil dan kejam terhadap Azizul yang pada saya, langsung tidak melakukan kesalahan.

“Rakaman video itu jelas menunjukkan pelumba Australia (Glaetzer) yang datang dari arah belakang dan meluru masuk ke dalam garisan Azizul lalu menyebabkan kemalangan.

“Berikutan insiden itu UCI terpaksa mencari seseorang untuk dipersalahkan dan akibatnya Azizul yang menjadi mangsa biarpun Matthew jelas menjadi punca insiden berkenaan berlaku,” katanya.
FotoAzizulhasni Awang
Beasley berkata, beliau cukup kecewa dengan keputusan UCI itu tetapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana sebarang rayuan tidak akan diterima selepas hukuman dijatuhkan.

Dua tahun lalu UCI mengeluarkan syarat baru tiada rayuan dibenarkan terhadap keputusan yang sudah dibuat kerana dianggap memberi kesan buruk terhadap siaran televisyen. Biarpun pahit untuk ditelan, Azizulhasni perlu menerima hakikat bahawa nasib terus tidak menyebelahinya.
Episod malang itu yang ketiga ditempuhi Azizulhasni selepas dua penyertaannya dalam siri Piala Dunia Klasik sebelum ini turut dibatalkan. Pembatalan itu meranapkan impiannya untuk layak ke peringkat akhir sekali gus menutup peluang bergelar juara dunia atau setidak-tidaknya mengulangi pencapaian merangkul pingat perak di Denmark pada 2011. Perlumbaan akhir keirin itu dimenangi Francois Pervis dari Perancis diikuti Fabian Puerta (Colombia) dan Matthijs Buchli (Belanda) ketiga.

Dalam acara pecut yang berlangsung Ahad lalu, Azizulhasni turut gagal apabila terkandas di pusingan kedua.


Oleh Aida Adilah Mat - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment