Wednesday, March 26, 2014

'Atlet perlu yakin pada diri sendiri'

LEGENDA renang dunia, Mark Andrew Spitz percaya kejayaan meraih sembilan pingat emas pada Sukan Olimpik dan memecahkan rekod dunia adalah hasil daripada kepercayaan terhadap kemampuan sendiri.
Menurut juara dunia yang terkenal dengan imej bermisai pada era 1970an itu, percaya kepada kemampuan sendiri dan keluar daripada zon selesa merupakan prinsip terbaik yang perlu di tanam dalam minda setiap perenang sekiranya mereka mengidam kemenangan podium.
"Pada zaman kegemilangan saya, ada pemberita dari Rusia yang mempertikaikan misai yang saya ada. Mereka percaya, misai tersebut akan membuatkan renangan saya menjadi perlahan dan akhirnya kalah.

"Tetapi saya katakan kepada mereka, dengan misai inilah saya mendapat kelebihan dan apa yang berlaku, tahun berikutnya iaitu 1972, boleh dikatakan semua perenang Rusia menyimpan misai dan tahun itu juga saya meraih sembilan emas di Sukan Olimpik Munich, Jerman.

"Jadi, ia menunjukkan betapa pentingnya elemen percayakan diri sendiri wujud dalam minda setiap perenang. Jika anda yakin boleh menewaskan juara dunia, anda sudah tentu boleh melakukannya," jelas Spitz ketika mengadakan sesi motivasi bersama atlet kebangsaan dan pelapis di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil semalam.

Spitz kini berada di ibu kota sempena Majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014 yang akan diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam ini.

Masih memegang rekod dunia, Spitz juga menyatakan, kegagalan mencabar diri sendiri juga merupakan 'penyakit' yang sering dihadapi oleh perenang zaman sekarang.
"Selepas menang dua atau tiga kejohanan, mereka sudah menganggap diri mereka berada di dalam zon selesa. Tidak lagi mencabar diri mereka agar melakukan lebih baik.

"Apabila perenang lain mula mengatasi mereka daripada aspek skil, inisiatif untuk meningkatkan semula tidak dilakukan dengan sewajarnya.

"Jadi, ubah pandangan anda. Jangan terlalu santai kerana setiap kejohanan akan bertambah sukar dan mencabar. Anda juga perlu bersedia untuk menang, bukan hanya menyertai kejohanan," ujar bekas juara dari Amerika Syarikat itu.

Dalam pada itu, perenang berpengalaman negara, Khoo Chai Lin mengakui banyak input yang diperoleh sepanjang sesi selama 45 minit bersama Spitz.

"Ia satu pengalaman yang sangat berharga. Selain daripada berjumpa dengan juara dunia itu secara bersemuka, sesi ini juga membuatkan saya lebih bersemangat terutama dalam menghadapi saingan kelayakan untuk ke Sukan Asia dan Komanwel nanti," kata Chai Lin yang kini sedang menjalani latihan untuk menghadapi Terbuka Malaysia pada Mei nanti.

Pakar acara 800 meter gaya bebas itu juga menjelaskan, apa yang pernah berlaku pada Spitz turut menjadi inspirasi kepadanya.

"Dia mengajar saya dan rakan atlet lain agar jangan putus asa dan setiap hari adalah satu harapan baharu. Jangan fikir terlalu banyak dan hadapi cabaran dengan bersungguh-sungguh.

"Paling utama, selalu perbaiki diri dengan mencabar kemampuan diri," katanya.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment