Thursday, March 06, 2014

‘Apa tunggu lagi Tok Mat’

Foto
AHMAD digesa serahkan tampuk PSM kepada timbalannya.

Kuala Lumpur: “Tempoh untuk Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail sudah tamat dan ada pemimpin lain yang berkaliber untuk memimpin”.
Itu pandangan Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia, Rommi Suhendra Norsal yang terus melihat sudah tiba masanya kepimpinan baru bagi mengembalikan kegemilangan sukan tradisi berkenaan.

“Pemimpin pelapis sudah ada. Sudah tiba masanya ia diserahkan kepada (Presiden Persatuan Sepaktakraw Terengganu) Mohd Shapian Ali yang cukup layak untuk membimbing PSM. Tidak layakkah lagi beliau yang sebelum ini turut diberikan Anugerah Kepimpinan Sukan Negeri Terengganu? Anugerah itu sudah cukup membuktikan kemampuan beliau.

“Malah beliau turut membawa Terengganu menjadi kuasa sepak takraw dalam negara ketika ini,” kata bekas tekong negara itu ketika mengulas mengenai pandangan Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Abdul Halim Kader yang melihat Ahmad perlu diberikan masa untuk mencari pemimpin pelapis bagi menggantikannya.

Shapian yang juga Timbalan Presiden PSM sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk mencabar kepimpinan Ahmad yang mula menyandang jawatan berkenaan sejak 2003.

Kepimpinan Ahmad secara berterusan didesak segelintir bekas pemain dan bekas pengurusan PSM sejak awal tahun ini untuk berundur susulan kegagalan skuad negara di pentas antarabangsa dan kekurangan kejohanan yang dianjurkan badan induk berkenaan.

PSM dijangka mengadakan pemilihan untuk mencari kepimpinan baru pada tahun ini.


 Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment