Friday, March 07, 2014

Anuar kemalangan di kilometer terakhir


Marang: Nasib tidak menyebelahi pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan apabila gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik pada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 semalam.

Lebih malang lagi, pelumba berusia 27 tahun itu terbabit dalam kemalangan bersama kelompok besar kira-kira dua kilometer terakhir sekali gus menidakkan kemenangan podium kepada pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu.

“Saya tidak dapat mengelak sebab keadaan dari jalan besar tiba-tiba jadi kecil, semua pelumba berebut untuk masuk ke situ. Kita memang sasar strategi untuk satu kilometer terakhir tapi 'crash' pula," katanya ketika ditemui.

Perlumbaan Peringkat 8 adalah peringkat kedua terpanjang bermula dari Kuantan ke Marang sejauh 202.2km yang menyaksikan pelumba Belanda, Theo Bos dari Belkin-Pro cycling Team mengungguli peringkat itu selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 5 jam, 01 minit dan 58 saat, diikuti rapat pelumba sensasi Itali Andrea Guardini yang mewakili Astana Pro Team dan Kenny Van Hummel dari Androni Giocattoli-Venezuela.

Mohd Harrif Salleh dari TSG adalah pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

“Hari ini perlumbaan betul-betul laju dan saya tidak pernah rasa kelajuan macam hari ini. Ada kemalangan dan saya tidak perasan Anuar (Manan) terjatuh. Bila ada kemalangan, ada kesan sikit sebab hendak kejar balik 400 meter terakhir, saya pun tidak larat hendak kejar. Lagipun, satu kilometer terakhir pasukan Belkin memang henjut betul-betul hingga ramai yang tercicir," katanya.
Katanya dengan berbaki dua lagi peringkat di tanah kelahirannya, pasukan TSG tetap akan mencuba memberikan sesuatu kepada warga Terengganu pada perlumbaan peringkat kesembilan dari Bandar Permaisuri ke Kuala Terengganu (111.1km) hari ini dan peringkat ke-10 dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu (103.1km) esok.

Sehingga Peringkat 8 semalam, pasukan TSG berada di tangga ke-18 keseluruhan dan kelima terbaik Asia dengan jumlah masa terkumpul 91 jam, 44 minit dan 41 saat.

Pasukan kebangsaan Malaysia pula berada di tangga ke-15 keseluruhan dan keempat terbaik Asia dengan jumlah masa terkumpul 91'35:12s.



- BERNAMA

No comments:

Post a Comment