Monday, March 17, 2014

Akademi Tenis Remaja Lantik Dua Jurulatih Luar

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Persatuan Tenis Malaysia melantik dua jurulatih dari Australia dan Belanda untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan remaja bagi melahirkan pemain tenis negara bertaraf antarabangsa.

Presidennya, Tan Sri Abdul Razak Latiff berkata kedua-dua jurulatih bertugas di Akademi Tenis Remaja di Kompleks Tenis Tun Razak, Jalan Duta yang baharu dibuka pada 1 Mac lepas.

"Kita memperuntukkan RM1 juta bagi pembangunan sukan tenis remaja untuk mencungkil bakat baharu setanding pemain tenis antarabangsa dan kita berharap dengan adanya akademi ini, lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka yang berbakat untuk berlatih, mereka boleh mempelajari teknik dan kemahiran baharu dalam sukan tenis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar Kejohanan Tenis BMW Terbuka Malaysia 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.

Abdul Razak berkata negara mempunyai ramai pemain remaja yang berbakat besar namun kebanyakan mereka sukar memberi komitmen kerana perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

"Selain itu, kekuatan fizikal juga merupakan faktor mereka tidak kompetetif seperti pemain bertaraf antarabangsa, jadi melalui akademi ini, pemain muda akan mendapat pendedahan yang lebih menyeluruh," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment