Tuesday, March 04, 2014

Ahmad kunci mulut


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail mengambil sikap membisu berhubung kesediaan timbalannya, Mohd Shapian Ali mahu merebut kedudukan nombor satu badan induk sepak takraw negara.

Ahmad yang ditemui pada majlis penajaan skuad negara semalam, bertindak tidak menjawab soalan ditanya pihak media apabila sebaliknya memberikan jawapan yang tiada kaitan.

Walaupun beberapa kali soalan diajukan pihak media, Ahmad tetap enggan mengulas mengenai jawatan yang disandangnya itu sejak 2003 dengan PSM dijadualkan mengadakan pemilihan untuk memilih barisan kepimpinan baru tahun ini.

Kedudukan Ahmad menjadi tumpuan terutama selepas segelintir bekas pemain negara dan pentadbir PSM sejak awal tahun ini secara berterusan mempersoalkan kegagalan skuad negara di pentas antarabangsa, kekurangan kejohanan tempatan serta agihan dana yang disalurkan kerajaan.

Mereka mendesak perubahan perlu dilakukan terhadap pucuk kepimpinan semasa PSM bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan tradisi berkenaan dengan Shapian yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu akhirnya menyuarakan hasrat untuk mencabar Ahmad.

Tindakan Ahmad yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengunci mulut dilihat sebagai usaha untuk tidak mengganggu kelancaran Siri Super Akhir ISTAF 2013/14 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula esok.

Lima pemain skuad negara kendalian ketua jurulatih Jamaluddin Hassan diketuai Muqlis Borhan, Izurin Refin, Syahir Rosdi, Hanafiah Dolah dan Khairol Zaman Hamir Akhbar akan menggalas cabaran dengan sasaran untuk sekurang-kurangnya melangkah ke final.

“Ia tetap menjadi sasaran kami (final) kerana sudah konsisten sebelum ini dengan melangkah ke pentas akhir. Saya menaruh keyakinan gandingan pemain lama dan baru kali ini walaupun hanya dikumpulkan dalam tempoh sebulan. Saya berharap mereka tidak mudah mengalah,” kata Ahmad.

Walaupun Thailand dijangka tidak menghantar regu terkuat untuk saingan kali ini apabila merehatkan Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee, saingan dilihat mencabar buat pemain negara yang muncul naib juara dalam tiga siri sebelum ini.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment