Monday, March 03, 2014

Adiq Pelumba Pertama Malaysia Tiba Di Puncak Genting Highlands

GENTING HIGHLANDS, 2 Mac (Bernama) -- Pelumba Terengganu Cycling Team, Mohammed Adiq Husainie Othman muncul pelumba pertama Malaysia tiba di puncak Genting Highlands pada perlumbaan peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014, di sini hari ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan saingan pendakian dari Subang ke Genting Highlands sejauh 110.9km itu dengan menduduki tempat ke-37.

Beliau mencatat masa tiga jam, lima minit dan sembilan saat, 10:25s di belakang pemenang peringkat itu dan jersi kuning dan putih, Mirsamad Pourseyedigolakhour daripada Tabriz Petrochemical Team.

Pelumba dari Iran itu yang juga juara Tour of Qinghai Lake tahun lepas merekodkan masa 2:54:44s.

"Saya rasa perlumbaan hari ini memang betul-betul laju sebab ada 31 orang melakukan pemecahan, begitu juga dengan kumpulan kedua, juga laju.

"Rakan sepasukan Saufi (Mohd Saufi Mat Senan) banyak tolong untuk letakkan saya dalam kedudukan yang betul di Genting Sempah. Terima kasih kepada mereka semua," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohammed Adiq mengakui tidak berpuas hati dengan pendakian hari ini.

"Saya rasa prestasi pendakian sedikit terjatuh tapi saya cuba yang terbaik untuk sampai di atas sebab boleh rapatkan gap untuk kedudukan keseluruhan," katanya yang menduduki tempat ke-32 pada edisi tahun lepas bersama pasukan Champion System Pro Cycling.

Selepas menamatkan perlumbaan peringkat keempat hari ini, pasukan Terengganu Cycling Team menduduki tangga ke-19 keseluruhan dan tempat keenam pasukan terbaik Asia dengan jumlah masa terkumpul 37:15:44s.

Sementara itu, jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia Aminuddin Sulaiman berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya selepas menamatkan pendakian ke Genting Highlands hari ini.

Mohd Fauzan Ahmad Lutfi, Suhardi Hassan, Mohd Rauf Nur Misbah, Mohd Nur Rizuan Zainal dan Abdul Rashid Ibrahim masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-39, 45, 54, 74 dan 105.

"Bagi saya, Suhardi telah melakukan upset apabila menjadi antara pelumba Malaysia yang tiba awal memandangkan dia bertindak sebagai domestik. Dia tiba di kedudukan yang lebih baik dari Rauf dan turut menjadi penyelamat.

"Fauzan tadi sebenarnya lebih depan dari Adiq. Mungkin masalah teknikal pada gear, Adiq dapat memintas dia. Hanya 100m jarak Fauzan dari Adiq untuk menang juara kebangsaan tajaan TM," katanya.

Selepas peringkat keempat hari ini, pasukan Malaysia berada di tangga ke-15 keseluruhan, namun masih belum berjaya mencapai sasaran tiga tempat teratas keseluruhan Asia.

Malaysia merekodkan jumlah masa 37:06:15s untuk tempat keempat terbaik Asia di belakang pasukan Indonesia di tangga ketiga.

Aminuddin berkata untuk perlumbaan esok, para pelumba bebas untuk mencari peluang mengutip mata di zon pecutan serta cuba melakukan pemecahan dan merapatkan diri supaya berada dalam peloton.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment