Wednesday, February 12, 2014

Tukar kapten: OKS

Kuala Lumpur: Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee membayangkan lilitan kapten bakal bertukar tangan selepas mengakui ada beberapa pemain senior kini difikir layak mengambil alih tugas itu.

“Kemungkinan besar kita akan ada pemimpin baru dalam pasukan. Saya tidak boleh beritahu dulu siapa pemain itu tetapi ada dua atau tiga calon yang berada dalam radar.

“Apa pun, saya akan terus membuat penilaian sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya ketika ditemui pada seminar berkaitan kepimpinan sains sukan di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, semalam.


Ketika di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal, tugas kapten dipikul pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim yang dijangka turut dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Ahad ini.

Safiq Rahim

Dalam pada itu Kim Swee berkata, senarai nama pemain bakal dipanggil bagi menjalani latihan pusat skuad kebangsaan hanya akan dikeluarkan selewat-lewatnya, esok.

Dia mengesahkan tidak banyak perubahan besar akan dilakukan terhadap senarai kali ini terutama di posisi tertentu yang pada penilaiannya barisan pemain tempatan tidak menunjukkan prestasi baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Contohnya, posisi penyerang di mana hampir 80 peratus gol yang dijaringkan dalam Liga M hadir menerusi pemain import.

Jadi, bagaimana saya mahu membuat penilaian? Jadi, sudah tentu saya akan memilih pemain berdasarkan pengalaman,” katanya.

Tugas pertama Kim Swee selaku pengendali sementara Harima Malaya adalah menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu Filipina di Stadium Selayang, 1 Mac ini dan aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Al Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat hari kemudian.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment