Monday, February 17, 2014

Tiada Masalah Dalam PSM - Naib Presiden

KUCHING, 15 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Paruwadi Musa berkata tidak ada masalah serius dalam persatuan itu dan kemelut sengaja diada-adakan oleh pihak luar yang mahu memecahbelahkan PSM.

Bagaimanapun, katanya, jika ada yang tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan sedia ada, anggota gabungan boleh memilih siapa yang dikehendaki dalam pemilihan akan datang.

Pemilihan mungkin diadakan dalam tempoh enam bulan kerana penggal jawatankuasa sedia ada akan berakhir pada 31 Dis depan, katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

"Tidak perlu ada orang luar untuk menentukan hala tuju PSM kerana saya yakin anggota gabungan boleh membuat penilaian tepat," katanya.

Prestasi buruk skuad sepak takraw negara sejak kebelakangan ini termasuk kegagalan meraih emas dalam temasya Sukan SEA di Myanmar hujung tahun lepas, menyebabkan pelbagai pihak membidas persatuan itu.

Mereka termasuk bekas pemain kebangsaan yang menuntut kepimpinan atasan persatuan diganti.

"Tindakan menyerang PSM itu tidak adil hanya kerana kegagalan pasukan negara memenangi pingat emas.

"Semua pasukan mahu kemenangan dan tiada istilah pasukan yang bertanding mahu kalah, tetapi kekalahan itu pasti dan hendaklah kita reda dengan kekalahan," katanya.

Beliau juga menyifatkan pertukaran barisan kepimpinan PSM tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya mereka harus diberi peluang menyelesaikan sebarang kekurangan yang ada.

Dalam Sukan SEA di Myanmar itu pasukan negara sekadar meraih pingat perak dalam acara antara regu dan gangsa dalam acara berpasukan.



--BERNAMA

No comments:

Post a Comment