Wednesday, February 05, 2014

Sokongan Penuh Terhadap Kejohanan Yang Bantu Pembangunan Sukan - Muhyiddin

SHAH ALAM, 3 Feb (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan terus memberi sokongan penuh kepada kejohanan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha meningkatkan mutu sukan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata kejohanan seperti Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) dilihat bukan sahaja dapat melahirkan atlet IPT berprestasi tinggi malah menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan perpaduan, membentuk jati diri dan mencapai kecemerlangan.

"Penganjuran kejohanan seperti ini sangat penting dalam melahirkan lebih ramai "The Thinking Athletes" seperti yang telah termaktub dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Sukipt 2014 di Stadium UiTM di sini malam ini.

Sebanyak 107 kontinjen melibatkan kira-kira 8,000 atlet mengambil bahagian dalam kejohanan Sukipt kali ini dengan 24 acara berbanding 16 acara pada penganjuran kali pertama Sukipt pada 2012.

Pertambahan lapan acara tersebut menjadikan Sukipt 2014 sebagai salah satu kejohanan terbesar dan bertaraf tinggi di negara ini setanding Sukan Malaysia (Sukma).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Sukipt membuka ruang yang sangat luas kepada mahasiswa untuk mula terlibat secara aktif dalam sukan.

Menurutnya, penyertaan terbuka dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi mewujudkan persaingan sangat kompetitif kepada lebih ramai atlet di IPT.

"Hal ini kerana kebanyakan atlet negara yang terlibat dengan Sukipt akan memberi cabaran yang sangat kuat untuk atlet-atlet berpotensi yang diketengahkan oleh IPT.

"Keupayaan atlet IPT yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di sepanjang tahun 2013 jelas terserlah," katanya.

Beliau berharap kejohanan Sukipt akan memberi impak menyeluruh kepada perkembangan sukan di IPT negara ini.

"Semoga lebih ramai wira-wira sukan negara dapat dilahirkan yang akan meneruskan momentum kecemerlangan sukan negara di pentas antarabangsa," katanya.

Beliau berkata Sukipt akan dilihat berjaya sekiranya muncul muka-muka baharu yang layak mewakili negara ke pentas yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya ke tahap Sukan Olimpik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment