Tuesday, February 18, 2014

SEAGF Belum Buat Keputusan Masukkan Karate Dalam Sukan SEA 2015

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) belum membuat keputusan muktamad sama ada acara karate disenarai sebagai satu daripada acara dipertandingkan pada temasya Sukan SEA di Singapura pada 2015, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Masih belum ada keputusan muktamad mengenai senarai sukan dalam Sukan SEA 2015. Keputusan muktamad hanya akan dibuat pada 29 April depan dalam mesyuarat SEAGF.

"Ini bukan bermakna wakil MOM (Majlis Olimpik Malaysia) gagal melaksanakan tugas untuk meminta tuan rumah menyenaraikan karate sebagai salah satu sukan yang akan dipertandingkan di Singapura nanti.

"Dalam mesyuarat Sukan SEA di Singapura kelmarin (15 Feb), Malaysia telah diwakili Naib Presiden MOM Datuk Low Beng Choo telahpun membuat rayuan supaya beberapa sukan dimasukkan dalam senarai Sukan SEA 2015, antaranya adalah karate," katanya ketika diminta mengulas mengenai ketidakpuasan pihak Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Menurut Khairy, Malaysia akan terus membuat rayuan kepada Singapura untuk membolehkan acara karate disenaraikan.

Setiausaha agung Makaf, Vincent Chen dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Isnin menyalahkan pihak MOM kerana gagal mempertahankan acara karate sebagai salah satu acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2015.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SEAGF yang berlangsung pada 15 Feb itu telah bersetuju untuk menambah enam lagi acara sukan dan masih tidak memilih acara karate.

"Saya difahamkan bahawa persatuan karate Singapura mempunyai masalah dalaman dengan majlis olimpik kebangsaan republik itu dan sebab itu ia (acara karate) tidak disenaraikan," katanya.

Acara karate mula dipertandingkan pada Sukan SEA 1985 di Bangkok, Thailand.

Pencapaian terbaik skuad karate negara pada temasya Sukan SEA ialah pada 2001 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah apabila menggondol sembilan pingat emas.

Kejayaan cemerlang pasukan Malaysia di luar Kuala Lumpur ialah pada temasya edisi 2007 di Korat, Thailand apabila membawa pulang lapan pingat emas.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, skuad negara membawa pulang tujuh pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment