Tuesday, February 25, 2014

‘Saya bukan mengampu’


Kuantan: Menukar pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memang mudah, tetapi persoalannya siapa yang layak mengambil alih tugas mencabar itu.
Untuk memikul tugas presiden, pakej lengkap perlu ada pada individu terbabit, bukan hanya bergantung kepada sokongan ahli gabungan.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pengalaman luas dan penerimaan baik daripada ahli gabungan antara faktor melayakkan seseorang individu itu dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

“Saya bukan berniat untuk mengampu, sebaliknya terbukti Sultan Ahmad Shah (gambar) yang memikul tugas sebagai Presiden FAM lebih 20 tahun mempunyai pengalaman luas menerajui pucuk kepimpinan.

“Hendak dibandingkan dengan beberapa individu yang bercita-cita besar mengisi jawatan berkenaan ternyata amat jauh sekali, ibarat langit dengan bumi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa kelmarin yang inginkan pembaharuan dibuat dalam kepimpinan bola sepak di negara ini. Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bertegas supaya ahli gabungan bersepakat membuat perubahan sebaliknya tidak terlalu mengikut apa yang ditetapkan.
FotoSultan Ahmad Shah
Beliau turut menyenaraikan beberapa nama yang layak memikul tugas sebagai presiden, antaranya Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor, selain beberapa individu lain.

Jamal menegaskan, Presiden PBNJ itu bukan tidak layak tetapi dengan pengalaman cetek dalam kepimpinan persatuan, beliau tidak sesuai memikul tugas berkenaan kerana masih perlu mendalami lebih banyak kemahiran.
Katanya, untuk memajukan sukan bola sepak negara, sokongan dan kerjasama ahli gabungan penting.

Menurutnya, persatuan bola sepak negeri dan kerajaan pusat perlu berusaha mengadakan program pembangunan di peringkat akar umbi dan bukan meletakkan tanggungjawab mencari bakat baru di bahu FAM.

“Saya juga terkilan apabila individu luar yang tiada lagi sangkut paut dengan pembangunan bola sepak negara dan FAM seperti Annuar sentiasa campur tangan dalam mengeluarkan kenyataan yang mampu menjejaskan imej badan induk bola sepak negara.

“Untuk membetulkan kesilapan yang berlaku beliau (Annuar) seharusnya tidak menggunakan saluran media, gunakan laluan betul untuk menyuarakan pandangan dan pendapat.

“Beliau (Annuar) perlu akur jangan campur adukkan politik dalam sukan kerana akibatnya akan memakan diri sendiri,” katanya yang kini terbabit dengan program pembangunan bola sepak peringkat kanak-kanak dan belia Pahang.


Oleh Mohd Rafi Mamat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment