Monday, February 10, 2014

Samseng takkan terlepas

KUALA LIPIS - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau individu yang terlibat dalam mencetuskan kekecohan dalam perlawanan bola sepak di negara ini.

Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, badan bola sepak itu memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh merosakkan industri bola sepak negara dan mahu kejadian seperti itu dihentikan segera.
"Saya berasa bimbang kerana disebabkan trend bergaduh kita mungkin akan rugi sebab kita hendak fokus kepada sukan bola sepak.

Kita nak kualiti bola sepak dinaikkan, kualiti pengadilan dinaikkan, kualiti sekuriti dinaikkan dan juga kualiti stadium dinaikkan.
"Kalau hendak cari pasal memang senang tetapi ini tidak akan menjadi satu gambaran positif, jadi saya harap hentikanlah kalau tidak mungkin kita buat tindakan drastik yang sudah ada dalam pemikiran saya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Enduro Challenge 2014 di Taman Tasik Burung Mandi, Kamahang Hilir, Benta di sini semalam.

Tengku Abdullah berkata, perkara seperti itu perlu segera ditangani bersama demi kebaikan semua pihak khususnya peminat bola sepak negara.
"Ini adalah untuk keselamatan dan kebaikan penonton yang tidak bersalah. Peminat sudah tunjuk minat dan ada yang bawa keluarga serta anak-anak. Saya harap janganlah kita buat benda yang tiada kaitan dengan bola sepak," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah mahu semua pihak memberi tumpuan terhadap permainan dalam setiap pertandingan dan menerima sebarang keputusan sama ada kalah atau menang.
Beliau berkata, tindakan yang melencong sehingga mencetuskan pergaduhan hanyalah merugikan masa dan menyusahkan pelbagai pihak terutama pasukan keselamatan.

"Kalah menang adat permainan, kalau tidak boleh terima kalah jangan main bola, kalau menang kena terima menang tetapi jangan hendak ghairah sangat," katanya lagi.

Jumaat lalu, perlawanan di antara juara Piala Malaysia, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kecoh selepas penyokong bergaduh di luar stadium hingga ada yang pulang bersama muka berdarah.

Keadaan penonton juga agak tegang di dalam stadium dan memaksa polis serta Pasukan Simpanan Persekutuan (RFU) mengambil tindakan untuk mengawal suasana daripada menjadi lebih buruk.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment