Monday, February 10, 2014

Persatuan sukan perlu tingkat prestasi atlet

KUALA LUMPUR - Pentadbiran dan pengurusan sesebuah Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) tidak semestinya perlu diubah, sebaliknya pemimpin mereka perlu mempunyai pemikiran yang terarah kepada usaha meningkatkan prestasi atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz berkata, kepimpinan Persatuan Sukan Kebangsaan perlu mempunyai pemikiran ke arah menghasilkan atlet berpretasi tinggi dan berada di kemuncak prestasi masing-masing.

"Pemimpin perlulah mengelakkan politik dalam persatuan dan patut menerima teguran luar untuk memajukan bidang sukan masing-masing. Akibat daripada politik dalam persatuan dan prestasi merudum atlet sentiasa menjadi perhatian media dan orang ramai," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ramlan berkata, kegawatan kepimpinan Persatuan Sukan Kebangsaan perlu ditangani oleh pemimpin dalam persatuan sendiri.

Sehubungan itu, ISN dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan membuka ruang kepada jurulatih, pengurus dan pihak pengurusan tertinggi persatuan sukan untuk 'membuka minda' dengan menggunakan elemen sains, perubatan dan teknologi sukan melalui seminar sehari yang akan diadakan Selasa ini.

"Seminar yang bertajuk Sports Science Governed Sports Leadership Empowerment ini, akan mengupas corak kepimpinan berteraskan sains sukan yang menjadi tumpuan pengiat sukan tanah air.

"Usaha ini yang dilaksanakan ISN dan UPM ini adalah 'langkah pertama' mewujudkan suatu sistem bagi melatih pemimpin-pemimpin sukan yang mampu menerajui persatuan dalam menampilkan atlet berkaliber negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Antara objektif seminar itu adalah untuk memberi pendedahan terhadap ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dan corak kepimpinan sukan dari perspektif berbeza yang berteraskan sains sukan dalam kalangan penggiat sukan negara.

Sempena seminar berkenaan, forum bertajuk 'Facilitating Peak Performance' akan diadakan melibatkan anggota panel seperti Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia Datuk Dr P.S. Nathan, jurulatih pasukan Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee, pengurus pasukan hoki Projek 2013 dan 2016 Mirnawan Nawawi serta pemain skuasy negara Ong Beng Hee.

Sementara itu forum bertajuk 'Sports Leadership Transformation' dijangka akan mencuri tumpuan dengan anggota panel seperti penasihat Persatuan Bola sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Tan Sri Tengku  Mahaleel Tengku Ariff, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan bekas pemain skuasy negara Mohd Azlan Iskandar. - Bernama

No comments:

Post a Comment