Friday, February 28, 2014

Pelumba Kebangsaan 'Sembunyi' Masalah Kesihatan Untuk Teruskan Perlumbaan

LANGKAWI, 27 Feb (Bernama) -- Pelumba kebangsaan menunjukkan semangat juang tinggi apabila 'menyembunyikan' masalah kesihatan untuk bersaing dalam perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 hari ini.

Bagaimanapun, jurulatih Aminuddin Sulaiman mengakui masalah kesihatan itu sedikit 'merencatkan' strategi yang diatur pasukan kebangsaan untuk perlumbaan sejauh 101.1km.

"Semalam, mereka tidak menampakkan sangat (tidak sihat) tapi kita dapat lihat hari ini (semasa perlumbaan), keadaan selesema yang dialami Suhardi (Suhardi Hassan), Fauzan (Mohd Fauzan Ahmad Lutfi) dan Amirul (Amirul Anuar Jafri) agak mengganggu rentak kayuhan mereka.

"Malam ini kita akan dapatkan nasihat dari pihak perubatan dan melihat tahap kesihatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau turut berharap agar anak buahnya mendapat rehat secukupnya memandangkan perlumbaan esok berlangsung pada sebelah petang.

Dalam pada itu, Aminuddin berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan 'muka baharu' Abdul Rashid Ibrahim yang diharapkan dapat mengekalkan momentum pada peringkat seterusnya.

"Strategi hari ini ada sedikit silap yang menyebabkan dua pelumba kita Rizuan (Mohd Nur Rizuan Zainal) dan Rauf (Mohammad Rauf Nur Misbah) terperangkap dalam peloton," katanya.

Pada perlumbaan peringkat pertama hari ini, pasukan Malaysia berada di tempat ke-20 keseluruhan dan kelapan terbaik Asia.

Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team Anuar Manan muncul pelumba terbaik Malaysia untuk saingan peringkat pertama dengan kedudukan keenam.

Bagaimanapun, beliau tidak berpuas hati kerana percaturan pasukan tidak menjadi.

"Hari ini percaturan tidak menjadi. Kami ingatkan akan berlaku 'bunch sprint' di garisan penamat. Tapi dalam laluan pendek ini pun sudah ada dua kali pemecahan (breakaway). Mulanya agak risau dengan jurang masa lapan minit dengan pendahulu bagaimanapun kami ada wakil pasukan dalam breakaway itu.

"Bila ada jurang masa seperti itu, semua pasukan mula melancarkan serangan dan menjadi agresif di kilometer terakhir," katanya.

Anuar berkata untuk perlumbaan esok, pasukan beliau mungkin mengekalkan strategi yang sama dan lebih berjaga-jaga supaya apa yang berlaku tidak berulang.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment